PETALING JAYA: Prestasi Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) diramal kurang memberangsangkan berbanding pencapaian gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lepas.
Dipetik dari Utusan Malaysia, penganalisis politik, Dr. Mazlan Ali berkata, ini kerana prestasi PN menjelang PRN nanti dilihat tidak sebaik prestasi gabungan itu pada PRU15 yang berjaya mencipta kejutan di kebanyakan tempat.
Ini kerana PN mempunyai masalah dengan beberapa pemimpin yang didakwa di mahkamah. Begitu juga dengan PAS yang terpalit dengan petisyen pembatalan keputusan di Parlimen Marang. Ia sedikit sebanyak menjejaskan moral.
Video tular ‘sedekah’ sebelum ini menyebabkan beban kepada Pas, kerana dikatakan merasuah pengundi.
Ditambah lagi dengan akaun parti yang disekat, kempen PN ketika ini dilihat agak perlahan.
Mengulas lanjut, Mazlan berkata, kejayaan PN sebelum ini juga adalah disebabkan sokongan daripada pengundi muda yang masih tidak berpengetahuan luas mengenai politik yang mudah terpengaruh dengan media sosial. PN bertindak awal dan sangat agresif berkempen melalui aplikasi Tik Tok pada PRU15 lalu. Atas sebab itu PN dikatakan mendahului dengan sokongan pengundi muda.
Tetapi Mazlan tidak menolak kemungkinan bahawa undi anak muda boleh beralih kerana dulu mereka mungkin tidak mengenali Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti sekarang.
Faktor menjadi ‘kerajaan’ memberikan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mempunyai banyak kelebihan pada PRN nanti. Jika dilihat dari keputusan PRU15 lepas, undi kedua-dua gabungan itu jika digabungkan pada PRU15 melebihi undi yang diperoleh PN kerana PN menang sebelum ini disebabkan pecahnya undi.
“Selain itu, kita boleh lihat Anwar membuat reformasi, dalam beberapa bulan ada beberapa perkara meyakinkan, pelaburan asing masuk dan keyakinan antarabangsa.
“Seterusnya strategi mengekalkan bantuan rakyat berbanding Tun Dr. Mahathir Mohamad dahulu, jadi mungkin orang muda yang dapat bantuan akan beralih kepada Anwar,” ujarnya.
“Ia sekali gus menjadikan dua penjuru pada PRN nanti berbanding PRU15 lepas. Jadi apabila UMNO bergabung dengan PH, adakah itu akan meningkatkan momentum kerajaan perpaduan sekarang? Itu satu persoalan besar,” ujarnya