MANCHESTER, 23 Mac — Persaingan untuk membeli Manchester United semakin memuncak semalam apabila jurubank Qatar Sheikh Jassim Bin Hamad Al Thani dan jutawan Britain Jim Ratcliffe bersedia untuk meningkatkan bidaan mereka untuk memiliki juara Inggeris 20 kali itu.
Sky Sports juga melaporkan bahawa Sheikh Jassim dan Ratcliffe telah diberikan lanjutan untuk mengemukakan bidaan baharu.
Tarikh akhir baharu untuk tawaran belum dijelaskan dengan jelas, menurut BBC.
Pemilik United sekarang ialah keluarga Glazer, yang membeli MU dengan mencatat rekod dunia bernilai £6 bilion (RM32.8 bilion) untuk sebuah kelab sukan.
Bidaan Sheikh Jassim untuk menguasai 100 peratus kelab itu berjanji untuk menghapuskan hutang United sebanyak AS$620 juta (RM2.76 bilion) dan melabur dalam stadium baharu dan tempat latihan, selain sokongan untuk pasukan lelaki dan wanita.
Sumber yang rapat dengan tawaran Sheikh Jassim memberitahu AFP dia tetap yakin tawarannya adalah “yang terbaik untuk kelab, peminat dan komuniti tempatan.”
Pengasas syarikat kimia Ineos Ratcliffe, yang merupakan peminat Manchester United di zaman kanak-kanaknya, lebih berhati-hati dalam penilaiannya, menegaskan dia tidak akan membayar harga “bodoh” dalam membida untuk salah satu kelab bola sepak yang paling ikonik.
“Apa yang anda tidak mahu lakukan ialah membayar harga bodoh untuk sesuatu kerana kemudian anda menyesalinya.”
Ratcliffe bagaimanapun hanya mahukan 69 peratus kepentingan milik keluarga Glazer, berkata minatnya terhadap United adalah “semata-mata untuk memenangi sesuatu”, menggelar kelab itu sebagai “aset komuniti”.
Pemilik sekarang, keluarga Glazers angat tidak popular dengan penyokong MU sejak mereka membebani kelab itu dengan hutang dalam pengambilalihan pada 2005. Namun kini Glazers kelihatan bersedia untuk menjual dan memperoleh keuntungan yang besar apabila mereka mempelawa pelaburan luar pada bulan November nanti.
(Pemilik MU terkini, keluarga Glazers dari Amerika Syarikat)
Walau bagaimanapun, mereka masih boleh mengelak pilihan untuk menjual pegangan majoriti dalam MU jika ada pihak lain yang berminat dalam pegangan saham minoriti sahaja.
Tawaran awal daripada pusingan pertama pembidaan bulan lalu dipercayai bernilai sekitar £4.5 bilion, melebihi apa yang keluarga Glazers beli pada 2005 lalu iaitu sebanyak £790 juta.
Itu akan mengatasi rekod Liga Perdana sebanyak £2.5 bilion yang dibayar untuk Chelsea tahun lalu oleh konsortium yang diketuai oleh pemilik bersama LA Dodgers Todd Boehly dan firma ekuiti persendirian Clearlake Capital, dengan tambahan £1.75 bilion yang dijanjikan dalam pelaburan dalam infrastruktur dan pemain.
Pembida dijangka mengetahui keputusan daripada MU minggu depan, dengan satu lagi pusingan bidaan masih berlangsung.
Jika satu tawaran jauh mendahului yang lain, ia boleh dipilih untuk memasuki tempoh eksklusif, yang akan membolehkan rundingan lanjut sebelum jualan akhir.
Ratcliffe melawat Old Trafford pada Jumaat lalu bersama wakil Ineos, sehari selepas delegasi kumpulan Sheikh Jassim melawat stadium dan tempat latihan kelab itu untuk mengadakan lebih banyak perbincangan sebagai sebahagian daripada usaha pemilikan mereka.
Media barat mengatakan pemilikan dari pemilik Qatar akan menjadi kontroversi.
Sheikh Jassim adalah anak kepada bekas Perdana Menteri Qatar, Sheikh Hamad bin Jassim bin Jaber Al Thani, dan hubungan rapatnya dengan elit pemerintah negara teluk itu akan menimbulkan persoalan mengenai sebuah lagi kelab Liga Perdana yang menjadi projek yang disokong kerajaan.
Kelab yang berjaya dan kaya di bawah pemilikan keluarga Arab ialah Manchester City yang telah berubah sejak pengambilalihan daripada Sheikh Mansour, ahli keluarga pemerintah Abu Dhabi pada 2008.
Pada 2021 pula , dana kekayaan kerajaan Arab Saudi membeli pegangan kawalan di Newcastle.
Amnesty International telah meminta Liga Perdana Inggeris untuk mengetatkan peraturan pemilikan untuk memastikan ia “bukan peluang untuk sport washing”, seakan-akan penggubahan wang di dalam bidang sukan.
MU, juara Eropah tiga kali, tidak memenangi Liga Perdana Inggeris lagi sejak bos legenda mereka, Alex Ferguson membawa mereka merangkul gelaran Inggeris ke-20 pada musim terakhirnya sebelum bersara pada 2013.
MU membuat kebangkitan semula di bawah pengurusan Erik ten Hag musim ini dan menamatkan kemarau trofi selama enam tahun dengan menjulang Piala Liga bulan lepas.