Putrajaya : Kegagalan Wawasan 2020 adalah berpunca daripada Lim Kit Siang, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Itulah kesimpulan daripada negarawan Tun Dr Mahathir Mohammad di dalam penulisan terbarunya.
Tun Dr Mahathir menolak terus dakwaan Kit Siang bahawa Wawasan 2020 gagal adalah disebabkan oleh Perdana Menteri sebanyak dua kali itu.
Beliau juga menasihati Kit Siang untuk muhasabah diri kerana kegagalan perpaduan Malaysia adalah disebabkan oleh pemimpin veteran DAP itu yang langsung tidak memainkan peranan bagi menekankan kepentingan Bahasa Malaysia kepada etnik Cina Malaysia untuk perpaduan kaum. Etnik Cina menurut Tun Dr Mahathir lebih mengutamakan bahasa bukan kebangsaan.
Oleh sebab itu, cabaran pertama untuk menubuhkan sebuah bangsa Malaysia yang bersatu padu tidak tercapai.
“Dalam perkara ini Kit Siang sendiri yang tidak berusaha supaya semua bangsa Malaysia bertutur kata dalam bahasa Kebangsaan yang sama”, kata negarawan itu.
Selain itu, Tun Dr Mahathir juga meletakkan kesalahan di atas bahu mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang gagal meneruskan polisi dan perancangan seperti yang dijanjikan sebelum dilantik ke jawatan PM.
“Apabila Tun Abdullah dan Dato Seri Najib ambil alih kepimpinan negara, mereka ketepikan dasar dan cara yang diterokai oleh saya”, kata beliau.
Tun Dr Mahathir memberi contoh di mana Abdullah membatalkan projek keretapi, jambatan bengkok dan projek expressway.
(Ilustrasi Jambatan Bengkok yang sepatutnya menggantikan tambak Johor, boleh mengurangkan penguasaan pelabuhan Singapura di rantau ini)
“Yang diutamakan ialah projek anak dan menantu. Di tingkat empat terdapat beberapa anak muda yang mempengaruhi dasar dan projek”, kata negarawan itu yang konsisten mengkritik ‘budak tingkat 4’ dari dahulu.
Akhirnya menurut Tun Dr Mahathir, rakyat menolak dasar dan pentadbiran Abdullah dan dalam PRU pada tahun 2008, pencapaian Kerajaan Abdullah begitu buruk sehingga lima buah negeri ditawan oleh parti lawan.
Selepas Abdullah meletak jawatan sebagai PM pada 2009, Najib yang mengambil alih juga tidak berusaha untuk menjayakan wawasan 2020. Menurut Tun Dr Mahathir, sebaliknya Najib meminjam berbillion Ringgit untuk membeli stesyen janakuasa dengan harga yang lebih tinggi dari harga pasaran dan Najib juga terpalit dengan jenayah yang telah terbukti bersalah.
Tun Dr Mahathir berkata negara telah rugi dari segi masa dalam membangunkan negara dari tahun 2004 hingga 2020 akibat dua PM di era itu tidak meneruskan Wawasan 2020 yang mereka telah berjanji untuk laksanakannya.