14 MAC — Syarikat induk Facebook, Meta menyatakan ia akan membuang 10,000 pekerja, hanya empat bulan selepas ia memberhentikan 11,000 pekerjanya. Meta merupakan syarikat gergasi teknologi pertama yang mengumumkan pemberhentian pekerja besar-besaran kali ke dua.
Objektif CEO Meta Mark Zuckerberg kini adalah mengurangkan saiz pekerja sekitar 10,000 orang dan membatalkan 5,000 peluang pekerjaan tambahan yang ditawarkan sebelum ini.
(Mark Zuckerberg – CEO Meta dan pengasas Facebook)
Pemberhentian itu adalah sebahagian daripada penstrukturan semula secara besar-besaran di Meta di samping membatalkan projek tidak penting dan mengurangkan kadar pengambilan pekerja.
Langkah ini juga bersamaan dengan visi Mark Zuckerberg untuk menjadikan 2023 sebagai “Tahun Efisien” dengan pengurangan kos yang dijanjikan sebanyak AS$5 bilion dalam perbelanjaan kepada antara AS$89 bilion dan AS$95 bilion.
Ekonomi yang merosot telah membawa beberapa siri pemberhentian kerja besar-besaran di seluruh korporat Amerika: daripada bank Wall Street seperti Goldman Sachs dan Morgan Stanley kepada firma Big Tech termasuk Amazon.com dan Microsoft.
Sektor teknologi telah memberhentikan lebih 280,000 pekerja sejak awal 2022, dengan kira-kira 40 peratus daripada mereka diberhentikan pada tahun ini.
Meta, yang membelanjakan berbilion-bilion dolar untuk membina metaverse futuristik, telah bergelut dengan kemerosotan selepas pandemik dalam perbelanjaan pengiklanan daripada syarikat yang menghadapi inflasi yang tinggi dan kadar faedah yang meningkat.
Langkah Meta pada November untuk mengurangkan jumlah pekerja sebanyak 13 peratus menandakan pemberhentian besar-besaran pertama dalam sejarah 18 tahun penubuhannya.