KUALA LUMPUR, 9 Mac — Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata beliau yakin Perikatan Nasional (PN) boleh membentuk kerajaan negeri Selangor walaupun didakwa tidak mempunyai wang untuk berkempen bagi menghadapi pilihan raya negeri.
Muhyiddin juga mengumumkan bahawa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Radzi Md Jidin akan mengetuai PN itu semasa berkempen di Selangor.
“Kami tiada wang jadi saya harap ahli tidak datang kepada saya meminta bantuan. Apa yang saya boleh katakan ialah walaupun tidak mempunyai wang, kami masih boleh melakukan kerja dengan baik. Jadi mula mencari jalan untuk mengumpul sedikit wang dan dekat dengan pengundi,” kata Muhyiddin kepada pemberita selepas ucapan penggulungan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kelima Bersatu semalam.
Muhyiddin juga berkata PN mempunyai beberapa idea dan rancangan yang boleh memenangi Selangor dan mengurangkan majoriti PH di Pulau Pinang.
Akaun Bersatu telah dibekukan sementara siasatan dijalankan terhadap kes pengubahan wang haram dan rasuah berikutan pertuduhan di mahkamah minggu lepas.
Apabila ditanya bagaiman pembahagian kerusi PN di PRN akan datang, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata ia lebih suka membenarkan penyandang bertanding semula.
Beliau juga yakin dengan PAS dalam memimpin PRN di Kelantan, Terengganu dan Kedah kerana PAS tidak mempunyai masalah dengan pembiayaan.
PAS memegang kerajaan negeri di Perlis, Kelantan dan Terengganu. Parti Islam itu memenangi 74 kerusi pada PRU15. Kerajaan Kedah juga kini di bawah pentadbiran PAS.