Kuala Lumpur : Perang antara ‘kluster mahkamah’ telah bermula . Semasa Perhimpunan Agung Sayap Bersatu, Ketua Pemudanya berkata kes pendakwaan Muhyiddin tidak sama dengan Najib.
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata tiada sesen pun wang dimasukkan ke akaun peribadi Presidennya. Malah jauh sekali terlibat dalam skandal kewangan terbesar dunia seperti 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, Muhyiddin yang kini berdepan kes mahkamah menjadi mangsa pendakwaan terpilih disebabkan ketakutan melampau terhadap pengaruh Bersatu dalam politik Melayu.
Ironinya, Najib melalui facebooknya bersetuju dengan Ketua Pemuda Bersatu itu bahawa beliau tidak sama dengan Muhyiddin.
Najib mendakwa Muhyiddin mempunyai kawalan penuh ke atas penggunaan dana parti, kerana itu Ahli Parlimen Pagoh itu dituduh terima duit dan disalurkan ke dalam akaun Bersatu.
Najib mempertahankan dirinya bahawa semasa beliau menjawat jawatan Perdana Menteri, beliau telah menyuruh Gabenor BNM, pengurus bank dan juga dua pegawainya untuk kawal serta pantau akaun bank peribadinya. Namun dakwanya, mereka yang beliau beri tanggungjawab tidak melaksanakan tugas itu dan dana RM42 juta masuk ke akaun bank peribadi tanpa pengetahuan dirinya.
Perkara ke dua kes Najib tidak sama dengan Muhyiddin menurut catatan facebooknya ialah beliau tidak didakwa kerana meminta atau mengarahkan suapan, manakala Muhyiddin dan sekutunya dituduh menggunakan alasan pandemik untuk memberi berpuluh-puluh projek kerajaan secara rundingan terus, pada masa yang sama meminta dan mengambil duit dari ramai kontraktor. Disebabkan itu, Muhyiddin dan sekutunya dituduh kerana meminta duit dan menerima duit, kata Najib.
“Wan Saiful pula dituduh terima duit dalam akaun bank syarikat dimilik penuh dia. Sepupu menantu Muhyiddin dituduh terima duit dalam akaun peribadi dia. Ahli peniagaaan Pagoh kawan baik Muhyiddin turut didakwa terima duit dari kontrakor-kontraktor. Kawan baik dia ini pernah disebut dalam perbicaraan kes UKSB di mana pihak UKSB beritahu mahkamah bahawa cash RM1.3 juta pernah dibayar kepada Muhyiddin melalui kawan baik tersebut”, dakwa Najib lagi di catatan Facebooknya semalam.
Sebaliknya, Najib berkata beliau dihukum kerana wang RM42 juta adalah bukan miliknya walaupun dana tersebut memang telah dikhususkan SRC untuk kerja CSR. Beliau menggunakan wang itu untuk aktiviti CSR. Wang itu juga bukan untuk kegunaan peribadi Najib dan bukan digunakan untuk merasuah pengundi.
Najib juga menyentuh berkenaan keadilan semasa perbicaraan. Beliau berkata Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya SPRM ditukar semata-mata untuk mendakwa Najib.
Sebaliknya, Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang dilantik oleh Muhyiddin tidak ditukar, namun mereka jugalah yang telah mengambil keputusan untuk mendakwa Muhyiddin dan sekutunya.
“Ya, tak sama. Seorang salah sebab sedekah, seorang lagi didakwa salah sebab sakau dari kontraktor-kontraktor. Jadi, jangan sekali-kali WAF tuduh Muhyiddin sama dengan Najib”, kata Najib di akhir catatannya.