KOTA BHARU: Pas yakin enam pertuduhan ke atas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengukuhkan lagi sokongan rakyat kepada gabungan itu untuk berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri selepas ini.
Pas menerima maklum balas baik daripada rakyat di sebalik apa yang berlaku dan rata-rata mereka yakin ia merupakan satu perancangan untuk melemahkan PN, kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Takiyuddin memberitahu, PN akan mengadakan jerayawara ke seluruh negara bagi memberikan penerangan berkait dengan perkara tersebut bagi membolehkan rakyat mendapat maklumat sebenar berkait pertuduhan dihadapi Muhyiddin ketika ini.
Presiden Bersatu didakwa atas enam pertuduhan membabitkan empat kesalahan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan rasuah bernilai RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan nilai RM195 juta dan berhadapan hukuman penjara 20 tahun.