KUALA LUMPUR, 8 Mac — Tiada undang-undang yang menghalang bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd daripada memberi pandangan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata demikian ketika ditemubual eksklusif dengan akhbar berbahasa Cina tempatan, Sin Chew Daily.
Menteri itu juga berkata tiada undang-undang untuk menghalang Najib daripada menyuarakan pandangannya, dan memberi contoh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada masa lalu juga pernah menyatakan pandangan semasa beliau berada dalam penjara.
Saifuddin juga ditanya adakah mantan perdana menteri itu boleh mengakses ke media sosial kerana akaun Facebooknya masih aktif dan mempunyai posting terbaru. “Jawapannya adalah tidak. (Saya) sumber yang paling sah dan berwibawa, beliau (Najib) tidak mempunyai sebarang akses kepada mana-mana gajet,” katanya.
Saifuddin tidak menolak kemungkinan pasukan media sosial Najib mempunyai akses untuk posting di media sosial bekas ahli parlimen Pekan itu.
Saifuddin juga berkata Najib sekarang sedang menyambung pelajaran di peringkat lepasan ijazah.