KUALA LUMPUR, 8 Mac — Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata peranan agensi itulah yang telah membantu kerajaan memperoleh semula RM28.93 bilion dan aset yang hilang melalui skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Azam berkata dana dan aset yang diperoleh semula adalah lebih daripada yang dijangkakan oleh agensi itu sejak siasatan dilancarkan, lapor News Straits Times.
Menurut beliau, SPRM memainkan peranan penting di dalam pemerolehan itu kerana menjalankan siasatan, mengemukakan fakta, mengeluarkan waran tangkap, serta mendakwa mereka yang terlibat dalam skandal 1MDB di mahkamah.
Azam mengiktiraf kejayaan ini kepada semua pasukan SPRM yang terlibat, selain Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan dan Pusat Anti Jenayah Kewangan Kebangsaan.
Beliau ditemui media selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Institut Akauntan Malaysia (MIA) di ibu pejabat SPRM semalam.