JOHOR BARU, 7 Mac – Kerajaan persekutuan meluluskan peruntukan RM741.3 juta untuk menaik taraf Kompleks CIQ (BSI) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan lintasan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata RM27.7 juta daripada peruntukan itu akan digunakan untuk menambah lorong M-Bike bagi motosikal untuk mengatasi masalah kesesakan di kedua-dua pintu masuk darat selatan negara terutama pada waktu puncak.
“Dalam Jawatankuasa Khas Mengenai Kesesakan di Tambak Johor yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof semalam, beberapa cadangan telah dibincangkan.
“Antaranya projek yang sedang dijalankan serta inisiatif yang sedang berjalan dan akan dilaksanakan yang dijangka memberi impak positif kepada Johor khususnya di kawasan pusat bandar Johor Baru,” kata Mohamad Fazli dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamad Fazli berkata kesesakan boleh dikurangkan secara optimum melalui penambahan 25 lorong keluar dan 25 lorong masuk ke Malaysia, menjadikan tambahan 50 lorong baharu kepada 100 lorong sedia ada.
Beliau berkata kerja menaik taraf kedua-dua CIQ di BSI dan KSAB akan dilakukan secara berperingkat dengan peruntukan tahun ini sebanyak RM96.2 juta.
“Semoga usaha dan kerjasama erat kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan dapat membantu menyelesaikan masalah kesesakan yang melanda rakyat Malaysia berulang-alik ke Singapura,” jelasnya.
Sebelum ini, Fadillah dilaporkan berkata, cadangan mengatasi kesesakan terutama di Tambak Johor akan dibawa ke Kabinet untuk kelulusan.
Beliau berkata antara inisiatif yang dibincangkan ialah penggabungan dewan penumpang bas di KSAB dengan anggaran kos RM25 juta.
Fadillah turut mencadangkan untuk menaik taraf kaunter pemeriksaan lori baharu di Zon Masuk Lori dan ruang kuarantin Jabatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia dengan anggaran kos RM30.6 juta, serta membina kemudahan tandas baharu untuk orang ramai dengan anggaran kos. sebanyak RM8.6 juta.
Selain itu, beliau berkata kajian semula perjawatan perlu dilakukan bagi mengimbangi beban tugas pegawai dengan peningkatan jumlah pergerakkan warga kedua-dua negara.
Fadillah juga berkata kerajaan bersetuju dengan cadangan untuk mewujudkan “Single Entry Point” di sempadan Malaysia dan Singapura.
Bagaimanapun, beliau berkata cadangan itu akan diperhalusi KDN bersama kementerian dan agensi berkaitan lain sebelum dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet.