Parlimen : Hashtag #UMNODAP yang dimainkan pembangkang boleh menjadi senjata yang berkesan dalam ‘menakutkan’ orang Melayu terhadap kerajaan perpaduan. Apatah tidak, momokkan sejak berdekad UMNO terhadap DAP, yang didakwa musuh orang Melayu, pastinya menjadi cabaran terbesar dan mengambil masa untuk mengatasinya terutama orang-orang Melayu di luar bandar.
Bekas Ahli Parlimen UMNO yang sedang meneliti untuk menyertai PAS, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata beliau bersyukur kerana tidak bersama UMNO kerana UMNO kini bekerjasama dengan DAP, bertentangan dengan prinsip perjuangannya.
Beliau yang berbangga sebelum ini dengan berkata di parlimen bahawa kemenangan seluruh Perlis kepada PN adalah disebabkan faktor dirinya, menambah majoriti 23,000 undi yang diperolehinya, manakala Presiden UMNO hampir kalah dengan majoriti 300 lebih undi, itu petanda jelas rakyat telah menolak Presiden UMNO dan yakin jika ada sebarang pilihan raya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan kalah.
Shahidan mendakwa majoriti ahli UMNO tidak mahu kerjasama dengan DAP kerana konsep Malaysian Malaysia yang dipelopor DAP, bertentangan dengan prinsip UMNO iaitu perjuangan orang MeÂlaÂyu Islam. Dalam hati Shahidan kini hanya ada PAS dan PN sahaja bagi meneruskan perjuangan karier politik beliau.
Seorang lagi pemimpin PN, ahli parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tumbang tidak lama lagi. Katanya yang dipetik dari Utusan Malaysia, adalah tidak pelik ia berlaku kerana sebelum ini mereka juga telah memaksa kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin tumbang.
Wan Saiful yakin keruntuhan kerajaan perpaduan akan berlaku sendiri dari dalam tanpa penglibatan PN kerana keretakan itu sudah tidak dapat dibendung. Beliau menyokong kenyataan Presiden Pas baru-baru ini, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendoakan kerajaan perpaduan ini tumbang.