LANGKAWI: Kerajaan menyeru rakyat mengisytiharkan jihad terhadap pembuangan sampah di merata-rata tempat bagi memastikan Malaysia bersih dan menjadi tarikan pelancong.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, memang masih ada kawasan yang kotor akibat tabiat membuang sampah sesuka hati selain sesetengah kawasan pula tidak memiliki sistem pengurusan sampah yang baik.
Namun, kata beliau, tidak adil untuk mendakwa seluruh tempat di negara ini bermasalah dengan sampah kerana masih ada kawasan yang diuruskan dengan cekap dan sistematik sambil memberi contoh Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC) di Pulau Langkawi yang mampu menjadi inisatif untuk mengurangkan pembuangan sampah di merata-rata.
Beliau ditemui selepas melawat Pasar Awam Kuah di sini semalam.
Kor Ming berkata, ketika lawatan ke DTRC yang dikendalikan syarikat konsesi pembersihan, Environment Idaman Sdn. Bhd. di bawah seliaan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), sistem pengurusan sampah tersebut boleh ditiru di negeri-negeri lain.
“KPKT akan perluas langkah itu dan berharap mendapat kerjasama kesemua 155 pihak berkuasa tempatan (PBT) menguruskan sampah dengan baik,” kata beliau.
Sehubungan itu, kata beliau, rakyat Malaysia diajak sama-sama mengisytiharkan jihad terhadap kekotoran, jihad terhadap pembuangan sampah dan sama-sama menjaga kebersihan.
Kor Ming mengulas laporan Utusan Malaysia mengenai negara bakal berhadapan risiko lambakan sisa domestik berpunca daripada kelemahan sistem pengurusan sehingga menyebabkan kira-kira 38,000 tan sampah sehari tidak dapat ditangani dengan baik terutama di kawasan perbandaran.
Jumlah tersebut diperoleh mengambil kira anggaran sampah dijana dari domestik sekitar 1.2 hingga 1.3 kilogram (kg) bagi setiap individu dan anggaran keseluruhan sehari itu juga dikatakan komposisi paling besar untuk diurus bagi sesebuah negara