KUALA LUMPUR: “Minta dia (Ahmad Zahid) tunjuk surat RoS itu, elok juga kalau boleh tunjukkan (surat) sebab ada dua laporan media berbeza. Saya pun baca laporan media juga”, kata Datuk Seri Ismail Sabri yang dipetik dari laporan Berita Harian.
Malam tadi, Ahmad Zahid memaklumkan UMNO sudah menerima surat daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengesahkan RoS menerima resolusi parti itu iaitu tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.
Timbalan Perdana Menteri itu menyatakan perkembangan terbaru itu diterima menerusi surat daripada KDN (Kementerian Dalam Negeri) semalam.
Bagaimanapun, sebuah portal berita dan whatsapp tular melaporkan RoS yang selesai menjalankan siasatan berhubung aduan diterima daripada dua ahli UMNO, memutuskan usul tambahan terbabit tidak sah. Namun sumber tular portal dan whatsapp terbabit bagaimanapun tidak memetik mana-mana individu atau sumber mengesahkan RoS masih belum meluluskan tiada pertandingan ke atas dua jawatan tertinggi UMNO itu.
Pada 20 Januari lalu, dua ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan ahli UMNO Seremban, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom menghantar aduan kepada RoS supaya semakan dibuat terhadap usul tambahan yang diluluskan pada PAU 2022 berkaitan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti kali ini. Muhammad Aizat Fikri mendakwa atur cara mengemukakan usul tambahan itu tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan UMNO serta peraturan persidangan bahagian dan cawangan.
Ismail Sabri yang juga bekas Perdana Menteri turut menggesa RoS membuat keputusan segera bagi menentukan sama ada keputusan PAU itu sah atau tidak sebelum pemilihan parti pada 18 Mac ini untuk memberi laluan kepada ramai calon lain bertanding merebut dua jawatan tertinggi UMNO termasuk mereka yang sudah mengumumkan untuk bertanding jawatan Naib Presiden jika tindakan UMNO itu menyalahi perlembagaannya.