KUALA LUMPUR: Setiap satu daripada 7,648 kamera badan yang akan dipasang pada anggota polis dianggarkan berharga antara RM2,000 dan RM2,500, Dewan Rakyat diberitahu.
Menurut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, RM30 juta diperuntukkan untuk pembelian Body Worn Camera (BWC) yang akan dipasang pada pegawai di 157 ibu pejabat polis daerah di seluruh negara.
BWC akan digunakan oleh pegawai polis yang ditempatkan di lapangan, khususnya unit kereta peronda polis dan unit peronda motosikal polis, serta rondaan jalan raya oleh polis di 157 ibu pejabat polis daerah di seluruh negara.
“7,648 BWC dirancang untuk dibeli pada anggaran harga antara RM2,000 hingga RM2,500 seunit,” kata Saifuddin dalam jawapan bertulis bertarikh Selasa (21 Feb).
Bagaimanapun, Saifuddin tidak menyatakan tarikh bila dasar baharu itu akan dilaksanakan.
Peruntukan RM30 juta telah diluluskan pada 2021 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.
Saifuddin juga berkata Akta Suruhanjaya Kelakuan Polis Bebas (IPCC) akan dikuatkuasakan mulai 1 Julai ini.
“Buat masa ini, kementerian sedang menunggu kelulusan jawatan dan peruntukan daripada agensi pusat untuk penubuhan suruhanjaya ini,” kata Saifuddin.
Akta IPCC telah diluluskan di Dewan Rakyat pada Julai tahun lepas dan ia akan menyaksikan penubuhan suruhanjaya bebas untuk memantau integriti pasukan polis dan menyiasat aduan salah laku yang melibatkan anggota polis.
Saifuddin menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang bertanyakan mengenai penubuhan IPCC dan pecahan body cam yang akan dipasang pada anggota polis.