KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah hampir RM7 juta berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu turut didakwa meminta rasuah berkaitan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuh Raya Pantai Timur bernilai RM232 juta daripada Kerajaan Malaysia secara pra kelayakan.
Bagi pertuduhan pertama, Wan Saiful, 48, didakwa meminta rasuah sekitar bulan April 2022 di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini.
Pertuduhan kedua, Wan Saiful didakwa menerima RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya, WSA Advisory Group Sdn. Bhd. daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis Sdn. Bhd.
Tertuduh didakwa menerima upah bagi membantu Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek tersebut yang bernilai RM232 juta.
Wan Saiful didakwa melakukan perbuatan itu di antara 8 Julai 2022 dan 30 September 2022 di CIMB Bank Cawangan Bank Berhad Cawangan Bukit
Tunku, Bukit Tunku di sini.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 ang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Hakim Azura Alwi membenarkan Wan Saiful dibebaskan dengan jaminan RM400,000 dengan seorang penjamin, pasport ditahan oleh mahkamah manakala tertuduh diarah melapor diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua bulan sekali.
Mahkamah menetapkan kes itu disebut pada 22 Mac ini.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan di antara RM500,000 hingga RM1 juta dengan seorang penjamin.
“Jumlah itu munasabah kerana kesalahan yang dipertuduhkan adalah serius dan kami mencadangkan tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM Putrajaya sebulan sekali.
“Kami akui, tertuduh tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri dan telah memberi kerjasama kepada SPRM sepanjang siasatan ini dijalankan,” katanya.
Sementara itu, peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili tertuduh, merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin tidak melebihi RM300,000 dengan seorang penjamin.
“Kedua-dua akaun banknya telah dibekukan oleh SPRM malah isterinya menghadapi masalah kesihatan,” katanya.
Selain Hisyam, Wan Saiful turut diwakili peguam Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Datuk Rosal Azimin Ahmad.
Turut kelihantan di mahkamah, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasin; Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin.
Pada hari yang sama, Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima suapan wang tunai RM500,000 berkaitan projek di bawah Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).
Adam Radlan, 42, yang juga ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat turut didakwa meminta suapan sebagai dorongan untuk membantu sebuah syarikat lain mendapatkan surat setuju terima bagi projek pembinaan jalan bernilai RM47.8 juta.
Pertuduhan pertama, ahli perniagaan itu didakwa meminta suapan daripada Pengarah Urusan Syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn. Bhd., Mat Jusoh Mamat iaitu wang tunai sejumlah 3.5 peratus hingga tujuh peratus daripada nilai projek yang diperoleh.
Suapan itu sebagai upah membantu syarikat tersebut mendapatkan Surat Setuju Terima bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada Kerajaan Malaysia secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.
Pertuduhan kedua, Adam Radlan didakwa menerima suapan RM500,000 ke akaun CIMB Bank Berhad miliknya daripada individu sama sebagai upah untuk tujuan serupa.
Dia didakwa meminta rasuah di sebuah restoran di Dutamas pada Mac 2021 manakala tuduhan menerima rasuah dilakukan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku pada 26 November 2021.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.
Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau denda RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM300,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan iaitu melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali selain pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah.
Bagaimanapun, peguam, Datuk Seri Rajan Navaratnam yang mewakili ahli perniagaan ini, merayu agar kadar itu dikurangkan dengan alasan Adam Radlan telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang disiasat dan tidak pernah dituduh dalam kes jenayah lain.
“Anak guam saya merupakan seorang ahli perniagaan yang mempunyai empat anak yang berusia sembilan hingga 16 tahun,” katanya.
Selepas mendengar perkara itu, Hakim Suzana Hussain membenarkan tertuduh diikat jamin RM120,000 dengan dua penjamin bagi kedua-dua pertuduhan serta memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 23 Mac untuk sebutan semula kes itu.
Di dalam perkembangan kes yang sama, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan telah memberi keterangan sebagai saksi bagi membantu siasatan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lewat petang semalam.
Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu, beliau akan terus memberi kerjasama kepada mana-mana pihak berkuasa jika diperlukan.
Sumber : Utusan Malaysia