KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu tidak teragak-agak mengambil tindakan berhubung perarakan yang melibatkan replika senjata pada program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) 2023 di Setiu, kelmarin.
Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, pihaknya akan meneruskan siasatan bagi mengenal pasti kesalahan yang dilakukan pada perarakan tersebut.
Beliau berkata, hasil siasatan setakat ini, perarakan itu adalah salah satu pertandingan pada program tersebut yang bertemakan pakaian, senjata dan warisan Islam.
“Program tersebut didapati berlaku di sebuah resort di Setiu pada Jumaat lalu dan acara perarakan seperti yang tular di media sosial itu turut disertai semua daerah.
“Bagaimanapun daripada semua daerah di negeri ini yang bertanding, hanya peserta dari satu daerah sahaja yang mengenakan pakaian dan replika objek berbentuk senjata.
“Penganjuran program sudah berada dalam pengetahuan pihak polis namun kami tidak dimaklumkan tentang pertandingan perarakan berkenaan,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan di sini, petang ini.
Menurut Rohaimi, penyebaran isu tersebut juga telah menimbulkan rasa tidak puas hati serta kegusaran dalam kalangan sesetengah masyarakat khususnya di negeri ini.
“Polis akan menjalankan siasatan bagi kesalahan yang dilakukan ketika acara itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya,” ujarnya.
Terdahulu tular di media sosial gambar beberapa orang lelaki membawa objek berbentuk senjata iaitu tombak dan perisai sambil berarak pada satu progam anjuran sebuah parti politik.
Selain itu, sebilah pedang besar turut berada di atas sebuah kenderaan pacuan empat roda dipercayai bagi acara konvoi perarakan yang sama pada program terbabit.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar menasihati umat Islam negara ini supaya tidak mengikuti perarakan seperti itu kerana ia adalah tidak wajar dan boleh memberikan gambaran yang tidak baik kepada agama Islam dan negara. “Adalah lebih baik penganjur menonjolkan nilai-nilai Islam yang bersifat damai, mengajak kepada perpaduan dan kesejahteraan’, kata beliau dalam satu kenyataan.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berpandangan perkara ini perlulah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan serta apa-apa tindakan yang berkaitan sekiranya penganjur menyalahi peraturan keselamatan negara,” katanya.
Media hari ini melaporkan, perarakan pemuda itu dikenali sebagai Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit 2023) yang berlangsung di Setiu, Terengganu, Jumaat lalu itu.
Pada program itu, perserta berarak menggunakan replika pedang, lembing dan perisai sekali gus menimbulkan pelbagai reaksi netizen yang turut mengaitkannya dengan keganasan dan provokasi.
Ketua Pemuda Pas Terengganu, Mohd Harun Esa dilaporkan berkata, pihaknya sedia untuk memberi kenyataan kepada pihak berkuasa berhubung perkara itu. Difahamkan, Program Himpit itu menghimpunkan seluruh jentera pemuda Pas Terengganu yang diadakan sejak 1991 lagi dan menjadi acara tahunan.
– UTUSAN