KUALA LUMPUR: Sebanyak 26 projek kenderaan elektrik (EV) bernilai RM14.7 bilion telah diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sejak 2018 sehingga September 2022.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kesemua projek yang diluluskan melibatkan industri EV termasuk pemasangan, pembuatan alat ganti dan komponen serta komponen pengecas.
“Saya berbesar hati untuk berkongsi usaha kerajaan Malaysia dalam membangunkan industri EV telah berjaya menarik pelaburan yang besar di mana dari 2018 hingga September 2022, MIDA telah meluluskan 26 projek bernilai RM14.7 bilion.
“Kejayaan ini menunjukkan tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan selain turut membantu meningkatkan daya saing dan inovatif negara dalam sektor EV dengan memanfaatkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan paka teknologi yang mahir,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan EV 2023 di Dewan Perdana MIDA di sini, semalam.
Tambahnya, antara syarikat yang terlibat adalah SK Nexilis dan IMM Technology, Samsung SDI Energy Malaysia, EVE Energy Sdn. Bhd, Ni Hsin EV Tech Sdn. Bhd. dan Volvo Malaysia.
“Samsung SDI Energi Malaysia misalnya telah melabur RM1 bilion bagi projek fasa pertamanya di Negeri Sembilan di mana pengeluaran bateri EV telah dimulakan pada Mei 2022 dengan kapasiti tahunan sebanyak 240 juta sel bateri.
“Syarikat itu juga merancang untuk melabur RM6 bilion bagi membina kemudahan pembuatan bateri EV yang canggih dan ia dijangka bermula Januari 2024 selain turut mewujudkan lebih 1,300 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan,” katanya.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, pada 2021 pasaran EV ASEAN diangar bernilai hampir AS$500 juta dan jumlah berkenaan diramal berkembang kepada AS$2.7 bilion menjelang 2027.
Katanya, justeru kerajaan akan memanfaatkan ekosistem EV sedia ada dalam memastikan kumpulan bakat yang kukuh untuk membantu pembangunan industri EV negara dengan meneliti secara serius dasar-dasar berkaitan.
“Ia bertujuan menyokong sektor-sektor tenaga dalam memastikan ekosistem EV lengkap dan disokong sepenuhnya termasuk piawaian/standard, pensijilan dan pengesahan berkaitan sistem pengecasan dan aktiviti pelupusan bateri.
“Peluang begitu banyak dalam bidang tenaga boleh diperbaharui (RE), kecekapan tenaga, sistem penyimpanan tenaga, dan perkhidmatan sokongan untuk EV seperti stesen pengecas EV operasi dan penyelenggaraan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Pelaburan MIDA, Lim Bee Vian dalam sidang akhbar berkata, pihaknya menyasarkan menarik pelaburan berjumlah RM20 bilion berkaitan ekosistem industri EV dalam tempoh lima tahun sehingga 2025.
“Sasaran ini akan digandakan kepada RM40 bilion untuk tempoh lima tahun seterusnya, iaitu sehingga 2030.
“Bagi mencapainya, kami akan menggunakan pendekatan promosi secara lebih bersasar yang turut melibatkan kerjasama pelbagai kementerian,” ujarnya. – UTUSAN