KUALA LUMPUR, 10 Feb — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat dakwaan kontrak teknologi maklumat (IT) RM1.2 bilion diberikan kepada menantu bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin walaupun beliau telah mengeluarkan kenyataan untuk menafikan penglibatan dirinya secara langsung dalam penganugerahan kontrak tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, sumber SPRM berkata pihaknya telah memulakan siasatan awal tahun ini dan sedang meneliti beberapa aspek projek iaitu pembangunannya, sama ada mengikut garis masa yang ditetapkan atau adakah ia dilaksanakan mengikut spesifikasi. SPRM juga akan menyiasat jika projek itu dilaksanakan di agensi kerajaan yang berkaitan dengannya.
Kini SPRM sedang giat berusaha mengumpul semua bukti dan dokumen yang diperlukan untuk siasatan ini dan selepas itu akan memutuskan sama ada akan mengambil keterangan individu yang dikaitkan dengan kes tersebut. Menurut sumber itu lagi, setakat ini tiada kenyataan bekas perdana menteri mahupun menantunya diambil.
Beberapa hari lalu, timbul laporan bahawa bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terlibat dalam pemberian kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) kepada Iris Corporation Berhad, yang dikaitkan dengan menantunya.
Syarikat yang dimaksudkan ialah unit IRIS Corp Bhd, Iris Information Technology Systems Sdn Bhd (IITS) yang telah memperoleh kontrak RM1.12 bilion untuk projek NIISe daripada Kementerian Dalam Negeri pada Mei 2022.
NIISe bertujuan untuk memodenkan Jabatan Imigresen Malaysia dengan melaksanakan aplikasi digital terkini dan tercanggih.
Muhyiddin semalam mengeluarkan kenyataan kepada Bernama di mana beliau menafikan penglibatannya dalam pemberian projek itu.
Beliau mendakwa dakwaan itu adalah fitnah jahat yang sengaja direka untuk mencemarkan maruah dia dan keluarganya.
Pada 8 April 2021 Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah melancarkan projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) bagi menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) yang telah berusia 20 tahun. Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata kerajaan (pada ketika itu) telah meluluskan peruntukan khusus untuk membangunkan NIISe supaya sistem imigresen negara kekal relevan.
Beliau berkata ini termasuk aspek sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan juga aspek kedaulatan dan keselamatan negara.
Hamzah berkata penggunaan Enjin Penilaian Risiko yang menggunakan teknologi AI dan BDA secara bersepadu dengan data daripada agensi keselamatan lain adalah ciri terbaharu dalam menyediakan mekanisme pemantauan, pengesanan dan pencegahan risiko yang proaktif.