CANBERRA: Larangan alkohol akan dikuatkuasa semula membabitkan komuniti orang asli di Australia sebagai tindak balas terhadap peningkatan kadar jenayah dari kalangan mereka.
Perdana Menteri Australia Anthony Albanese dan Ketua Menteri Wilayah Utara (NT) Natasha Fyles pada hari Isnin mengesahkan bahawa ‘dry zone’ akan dikuatkuasa semula di bandar dan komuniti orang asli berhampiran Alice Springs, lapor Xinhua.
Ia kembali dikuatkuasa kurang 12 bulan selepas larangan pengambilan alkohol ditamatkan pada Julai 2022, menjadikannya sah di beberapa kawasan buat kali pertama dalam tempoh 15 tahun.
Ini kerana, kadar keganasan didorong pengambilan alkohol telah melonjak di Alice Springs, memaksa Datuk Bandar Matt Paterson meminta sokongan Pasukan Pertahanan Australia (ADF).
Albanese melawat wilayah itu pada akhir Januari dan melakukan semakan yang mengesyorkan larangan itu dikembalikan semula.
Di bawah undang-undang baharu yang akan diperkenalkan pada sidang Parlimen NT semalam, masyarakat setempat boleh memohon untuk membatalkan sekatan daripada larangan itu jika 60 peratus penduduknya tidak menyokong keputusan berkenaan dan mereka mempunyai rancangan pengurusan alkohol lain.