KUALA LUMPUR: Presiden Majlis Peguam Malaysia, Karen Cheah Yee Lynn berpendapat sudah tiba masanya Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 yang memberi kuasa kepada Perdana Menteri melantik hakim dan ahli suruhanjaya dikaji semula bagi memastikan urus tadbirnya bebas daripada pengaruh politik dan kuasa eksekutif.
Beliau berkata kerajaan hari ini harus bermula dengan awal langkah ini sejajar dengan visi kerajaan untuk tadbir urus yang adil dan berintegriti. Beliau juga mahukan komposisi keseluruhan JAC haruslah mencerminkan kepelbagaian dan keterangkuman, dan seboleh-bolehnya mencerminkan demografi penduduk dalam semua aspek.
Pada masa ini JAC mempunyai sembilan anggota, empat ahlinya adalah hakim yang sedang memegang jawatan paling kanan manakala lima lagi ahli dilantik Perdana Menteri.
Peguam, Mior Nor Haidir Suhaimi bagaimanapun berpendapat, pindaan di dalam akta berkenaan bagi menggugurkan kuasa Perdana Menteri tidak akan menyelesaikan masalah selagi nilai integriti tidak diterapkan dalam mana-mana badan yang berkuasa melantik selepas itu.
Ini termasuk Majlis Peguam atau badan berkaitan yang akan diberi kuasa melantik hakim serta ahli suruhanjaya dikhuatiri cenderung terhadap pihak berkepentingan atau parti politik.
“Memang benar pindaan ini yang mana tidak perlu melalui Perdana Menteri, tetapi kita perlu satu badan yang boleh mengesahkan kedudukan mereka (badan melantik) yang tidak berbelah bahagi kepada sesiapa. Persoalannya, ada atau tidak jalan lain untuk kita mengurangkan isu salah guna kuasa?
“Saya lebih gemar jika jawatankuasa yang ada kecenderungan salah guna kuasa diletakkan di bawah Parlimen supaya lebih terbuka dipersoal wakil-wakil rakyat. Sebab itu dicadang dari dahulu lagi untuk menubuhkan ombudsman bagi menyelia semua perkara berkenaan perundangan, pelaksanaan dan penguatkuasaan,” katanya dipetik dari Utusan Malaysia.
Pada 30 November 2022, Pengerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir pernah menggesa supaya pelantikan lima ahli JAC tidak dilakukan oleh Perdana Menteri, sebaliknya, diberikan kepada Majlis Peguam Malaysia; Persatuan Undang-Undang Sabah; Persatuan Peguambela Sarawak dan Jawatankuasa Pemilih Parlimen.
Bagaimanapun, pada 4 Disember 2022, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dilaporkan membantah cadangan pelantikan kehakiman tidak boleh diserahkan kepada badan peguam.
Hal ini kerana, dibimbangi hakim terpaksa ‘melutut’ kepada peguam yang hadir dalam sesuatu kes di mahkamah pada masa sama merupakan ahli JAC.