PETALING JAYA: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Malaysia seperti Tabung Haji (TH) disaran melakukan pelaburan dalam sektor perhotelan di Arab Saudi.
Pelaburan bersifat serampang dua mata itu diyakini dapat mengimbangi kenaikan kos penginapan seperti hotel, selain memberi pulangan kepada TH pada jangka panjang.
Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Anuar Shah Bali Mohamed berkata, itu satu langkah yang bersesuaian untuk TH membuat melabur dalam sektor hartanah di Arab Saudi.
“Dengan pemilihan hotel atau hartanah maka ia dapat membantu mengawal harga hotel di Mekah dan Madinah yang melibatkan jemaah haji atau umrah dari Malaysia.
“Syarikat GLC negara yang melabur di Arab Saudi boleh mendapat pulangan, pada masa yang sama membantu jemaah Malaysia dalam aspek penginapan.
“Pendekatan serampang dua mata itu juga boleh membantu meningkatkan pelaburan khususnya melibatkan jemaah dari luar Malaysia dan memberikan diskaun atau kadar yang bersesuaian untuk jemaah dari Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau mengulas laporan media mengenai kenaikan harga hotel di Mekah dan Madinah yang naik sehingga 110 peratus, mengakibatkan harga pakej umrah dikendalikan oleh segelintir agensi pelancongan terpaksa dinaikkan pada saat akhir sebelum jemaah berlepas ke tanah suci.
Menurut Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), kenaikan harga itu dipercayai berpunca daripada permintaan yang tinggi di hotel terutamanya di Kota Madinah.
Jelas Anuar Shah Bali, ibadah haji dan umrah adalah satu urusan yang berterusan jadi, pelaburan yang dibuat sememangnya memberi impak positif kerana penduduk Islam dari pelbagai negara yang akan sentiasa mengerjakan ibadah itu setiap tahun.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Russayani Ismail berkata, TH sepatunya telah lama berbuat demikian, namun ia bergantung kepada syarat-syarat ditetapkan oleh Arab Saudi.
Ujarnya, setelah seluruh dunia beralih ke fasa pasca-pandemik, ramai umat Islam yang ingin melakukan ibadah di sana, sekali gus mendorong kenaikan harga penginapan.
“Selain itu, mata wang kita yang pada dasarnya sudah jatuh nilai berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) juga menambah beban,” katanya.