spot_img
spot_img

Langkawi terima 2.57 juta pelancong tahun lalu

LANGKAWI: Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menyasarkan akan menerima 3.2 juta orang pengunjung ke pulau peranginan itu tahun ini selepas berjaya mencapai sasaran 2.5 juta pelancong sepanjang tahun 2022.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, pada tahun lalu, Langkawi telah merekodkan seramai 2.57 juta orang pelancong dan sebanyak 1.45 juta daripada mereka memasuki Langkawi melalui jalan laut, manakala selebihnya memilih laluan udara.

“Daripada jumlah 2.57 juta tersebut, 2.51 juta adalah pelancong domestik dan 63,000 orang adalah pelancong antarabangsa dengan pendapatan pelancongan dianggarkan mencecah RM3.9 bilion pada tahun lalu.

- Advertisement -

“Pada tahun ini, LADA menyasarkan 78 peratus pelancong domestik dan selebihnya adalah pelancong antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Sesi Perjumpaan Pemain Industri Pelancongan Langkawi Bil. 1/2023 di Kompleks LADA, hari ini.

Jelas Nasaruddin, sasaran itu dibuat berdasarkan faktor kesalinghubungan melalui laluan udara atau laut dengan purata perjalanan feri sebanyak 105 perjalanan dan 229 penerbangan setiap minggu.

Ujarnya, beberapa program promosi juga akan dilaksanakan bagi memastikan sasaran itu dicapai seperti menyertai Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) bagi pelancong domestik dan promosi di India, Australia, Thailand, Timur Tengah, Jepun dan London.

- Advertisement -

“LADA bersama Tourism Malaysia juga akan berunding bagi membuka semula laluan feri dari Koh Lanta, Krabi di Thailand ke sini selepas menerima lawatan daripada Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand, Pipat Ratchakitprakarn pada Jumaat lalu dalam usaha meningkatkan jumlah pelancong asing ke Langkawi,” kataya.

Selain itu, beliau turut menyatakan tahun ini merupakan tahun yang penting kerana status geopark oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) akan dibuat penilaian semula pada Jun nanti.

Katanya, LADA yakin akan mengekalkan kad hijau bagi status tersebut melalui aktiviti kelestarian yang telah diadakan sejak tahun lalu dalam usaha mengekalkan status geopark berkenaan.

“Di samping itu, kita turut meminta kerjasama Jabatan Laut Malaysia (JLM) bagi memastikan kerja pengerukan di alur pelayaran Kuala Perlis dapat disiapkan sebelum penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) nanti.

“Sepatutnya ketika ini kerja pengerukan sudah mencapai 83 peratus, tetapi status terkini adalah pada kadar 68 peratus sahaja yang menjadikan kerja tersebut lewat daripada jadual yang ditetapkan.

“Kita berharap laluan feri Kuala Perlis dapat dipulihkan seperti sedia kala bagi membolehkan jadual feri dapat disusun dengan tetap seperti di Kuala Kedah,” ujarnya.

 

Sumber : utusan malaysia

comments

Terkini

spot_img
spot_img