Setiap individu perlu bijak merancang kewangan masing-masing bagi mengelakkan perbelanjaan berlebihan di samping terperangkap dalam hutang tidak terurus, kebankrapan dan penipuan.
Namun, kekurangan pengetahuan mengenai perkara itu menyebabkan masih ramai yang gagal merancang dan menguruskan kewangan mereka hingga kini.
Justeru, tidak hairanlah apabila ada yang terpaksa mengikat perut atau meminjam wang daripada ahli keluarga mahu pun rakan-rakan terdekat semata-mata untuk meneruskan kelangsungan hidup hingga hujung bulan.
Bersempena tahun baharu 2023 yang bakal menjelang, jom lakukan perubahan dengan belajar merancang kewangan.
Berikut merupakan antara aplikasi boleh dimanfaatkan bagi membantu merealisasikan misi anda.
MAE
Dilengkapi dengan pelbagai ciri unik dan menarik bagi membantu menguruskan hal kewangan harian dengan lebih mudah.
MAE by Maybank2u bukan sekadar aplikasi perbankan, sebaliknya bank digital yang mudah dibawa ke mana sahaja termasuk membolehkan pengguna menjejaki perbelanjaan dan menabung secara berkumpulan.
Perbelanjaan disusun mengikut kategori yang mudah difahami seperti makanan, utiliti dan membeli-belah untuk memberi pelanggan gambaran lebih mendalam tentang perbelanjaan wang mereka.
Raiz
Aplikasi yang dilancarkan Permodalan Nasional Bhd. (PNB) ini membantu orang ramai menyimpan dan melabur dengan amaun yang kecil secara automatik dan konsisten.
Sejak dilancarkan pada Julai 2020, kira-kira 110,000 daripada keseluruhan 600,000 pendaftaran itu terdiri daripada pengguna aktif.
Inisiatif melabur menggunakan duit baki perbelanjaan itu membolehkan semua kelompok masyarakat termasuk generasi muda berjinak-jinak dengan pelaburan.
MyBijakNiaga
Aplikasi diagnostik perakaunan digital yang diperkenalkan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Tujuannya bagi memudahkan peniaga mikro dan kecil merekodkan transaksi perniagaan, mempelajari pentadbiran pengurusan kewangan, menguruskan data kewangan dan menilai prestasi perniagaan termasuk ramalan untuk tiga tahun akan datang.
MyBijakNiaga boleh diakses secara percuma dengan penerangan dalam bahasa Melayu.
Sehingga kini, hampir 2,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berdaftar dengan AKPK untuk penggunaan MyBijakNiaga.
Flexi2pay
Individu yang bekerja sendiri dan penggiat ekonomi gig boleh mengurus dan memantau aktiviti kewangan mereka dengan lebih efisien melalui flexi2pay.
Aplikasi percuma ini memudahkan golongan sasar merekod di samping mengira pembayaran atau potongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), cukai pendapatan dan pembayaran zakat.
Monny
Aplikasi ini membantu anda merekod semua transaksi kewangan setiap kali berbelanja. Selain itu, anda juga boleh menetapkan jumlah simpanan yang mahu dicapai.
PFS Market (POP2U)
Sistem online ini membantu pemegang portfolio kewangan melakukan transaksi dan mengetahui nilai terkini kewangan. Anda boleh merancang untuk menambah nilai portfolio bagi mengembangkan nilai simpanan asal. Sebarang transaksi keluar juga dikawal supaya pemegang portfolio dapat mendisiplinkan diri dalam menguruskan dana masa hadapan.