Menurut pakar, cuaca sejuk yang menyelubungi Malaysia ketika ini dijangka berlarutan sehingga Februari tahun depan
Fenomena cuaca sejuk berikutan monsun Timur Laut melibatkan perubahan angin sejuk yang bertiup dari China, serta awan hujan yang tidak berkesudahan yang bermula pada awal November, menurut Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip dalam laporan Bernama.
“Terdapat banyak awan hujan. [Disebabkan] sinaran matahari agak terlindung, [ini] menyebabkan suhu menjadi lebih rendah berbanding tempoh lain dalam setahun,” katanya.
Selain itu, beliau berkata kedudukan matahari akan berada jauh ke hemisfera selatan berikutan sudut putaran bumi mengelilingi matahari pada Disember menyebabkan negara di hemisfera utara mengalami musim sejuk. Kedudukan suria juga akan menjejaskan negara seperti Malaysia yang terletak di khatulistiwa.
Suhu boleh menjunam sehingga 22°C.
Suhu juga akan berbeza-beza berdasarkan geografi atau ketinggian sesuatu kawasan.
Sebagai contoh, Mohd Hisham berkata musim sejuk akan menjadikan kawasan seperti Genting Highlands lebih sejuk dalam tempoh ini.
Tanah rata di pedalaman semenanjung, di negeri seperti Kelantan, Pahang, dan Perak, juga boleh menjangkakan suhu yang lebih rendah berbanding dengan kawasan lain.
“Pada 2014, suhu di Kuala Krai, Kelantan direkodkan antara 17°C dan 18°C. Jadi, kemungkinan ia boleh berulang di kawasan itu,” katanya lagi.
Menurut Pakar Meteorologi Universiti Malaya Profesor Dr Azizan Abu Salmah, keadaan sejuk juga akan berlaku di beberapa lokasi di Terengganu dan Kedah. Bagaimanapun, orang Kedah boleh menjangkakan cuaca yang berubah.
“Kalau di Kedah, siang hari panas terik, malam pula sejuk,” katanya.