spot_img
spot_img

PPIM gesa kerajaan tubuh RCI siasat dakwaan salah guna kuasa

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan salah guna kuasa pembelian vaksin COVID-19 yang dikatakan didalangi tampuk kepemimpinan pentadbiran terdahulu.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata pihaknya menerima aduan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai berhubung isu perbelanjaan pengurusan COVID-19 yang dikatakan membabitkan puluhan bilion ringgit.

Beliau menegaskan, isu terbabit akan diketengahkan supaya mendapat perhatian pihak berwajib terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

- Advertisement -

“Kami tidak mahu perkara sebegini berlaku lagi kerana ia suatu perkara yang tidak masuk akal. Kami nak bawa perkara ini secara rasmi.

“Aduan diterima mempunyai fakta yang patut dikaji dan perlu disiasat secara serius kerana ia membabitkan jumlah perbelanjaan yang sangat besar.

“Negara bukanlah kaya sangat dan rakyat menderita…apa pemimpin buat sehingga ada dakwaan salah laku seperti ini. Kami harap rakyat Malaysia juga dapat bersama dalam usaha ini,” katanya dalam sidang media pada Sabtu.

- Advertisement -

Turut hadir dalam sidang media itu Penasihat PPIM, Datuk Seri Asri Yusoff dan Pakar Perunding Histopatologi dan Ahli Statistik, Dr Manimalar Selvi Naicker, selain Peguam C R Selva dan Pengerusi Valued Partners, Michael Chow.

Sementara itu, Dr Manimalar menggesa kerajaan baharu memandang serius pelantikan Menteri Kesihatan selepas ini.

Beliau berkata, jawatan itu seharusnya digalas individu yang mempunyai latar belakang khusus dalam bidang perubatan, selain mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya lima tahun.

“Kami mahu Menteri Kesihatan selepas ini dilantik dalam kalangan pengamal perubatan. Ini kerana, bidang perubatan adalah perkara kompleks dan tidak mudah difahami dan sangat sukar kepada mereka yang bukan dalam kalangan doktor untuk faham perkara teknikal dalam bidang ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata sekiranya tiada ahli Parlimen berkelayakan, kerajaan perlu melantik seorang senator dalam kalangan pakar perubatan.

 

 

comments

Terkini

spot_img
spot_img