Putrajaya 27 November : Hari ini Perdana Menteri Malaysia ke 10 mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Tahun 2022. Beliau telah menunaikan janji untuk tidak mengambil gajinya sebagai Perdana Menteri, mengecilkan saiz menteri kabinet serta mengurangkan gaji mereka. Ia adalah simbolik langkah pertama pentadbiran beliau untuk ‘mengharungi bersama majoriti rakyat’ akan kemelesetan ekonomi pasca Covid19 yang melanda dunia.
Pemimpin dunia telah ramai mengucapkan tahniah dan menerima baik perlantikan Anwar sebagai Perdana Menteri. Pasaran saham dan ringgit Malaysia melonjak kukuh. Rakyat berharap ini adalah permulaan yang baik selepas ketidaktentuan pada negara pasca PRU14 yang lalu. Keseluruhan rakyat termasuk ahli-ahli perniagaan berharap kerajaan ini terus kukuh sehingga tamat penggal demi kestabilan ekonomi.
Anwar di lihat membawa suara majmuk rakyat Malaysia.Partinya Pakatan Harapan menerima sokongan semua kaum. Ternyata sentimen ketuanan kepada satu kaum tidak mampu mengurangkan majoriti kemenangan PH.
Malaysia diketuai oleh seorang Perdana Menteri beraliran sederhana. PH sendiri jika hanya terdiri daripada DAP, tidak akan mampu membentuk kerajaan. Perikatan Nasional (PN) yang hanya menang dengan bendera PAS di kawasan luar bandar majoritinya, di utara, dan pantai timur, tidak berjaya untuk memperoleh majoriti besar bagi membentuk kerajaan dengan mudah. Maka Yang Di Pertuan Agong berbincang dengan majlis Raja-raja untuk menentukan Perdana Menteri kali ini.
Sudah tentu suara semua kaum diambil kira. Pihak ekstremis perkauman seperti GTA dari Pejuang di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir yang hanya memperjuangkan orang Melayu sahaja telah ditolak mentah-mentah oleh rakyat Malaysia. Parti Bersatu yang sepatutnya menggantikan UMNO sebagai wadah perjuangan orang Melayu yang moderate, ‘terpaksa’ memilih kawan yang ekstrem di dalam perjuangan yang menggunakan Islam. Bersatu tidak  dapat undi dari kalangan rakyat yang bukan Islam dan mengharap sepenuhnya sokongan pengundi PAS. Rakyat Sabah dan Sarawak juga berhati-hati dengan kerajaan PN kerana adanya PAS.
Slogan di dalam ceramah seperti “mengundi PH sama seperti menyokong kristian, yahudi” dan anasir PH adalah anti Islam, hanya berkesan di peringkat kampung atau kawasan Melayu sahaja. Kawasan bandar dan membangun, cara ini tidak berkesan. Sudah tentu di peringkat membentuk kerajaan, majlis Raja-raja mempertimbangkan sewajarnya jika ekstremis perkauman atau agama dapat membentuk kerajaan, maka pandangan negara luar dan tarikan pelabur untuk ekonomi pasti membawa masalah.
UMNO hingga hari ini dilihat masih berhati-hati di dalam ‘mengaktifkan’ diri dalam kerajaan. Mungkin menunggu akan perlantikan kabinet kelak. Timbalan Perdana Menteri pertama adalah dari UMNO menurut sumber Berita Tular yang rapat. TPM yang ke dua adalah dari blok parti Sabah dan Sarawak.
Rata-rata ahli UMNO memberi amaran keras kepada DAP supaya tidak mengulangi angkara 22 bulan semasa pemerintahan PH pasca PRU14 lalu. Di sini kebijaksanaan Anwar akan teruji. Namun penganalisis politik yakin bahawa Anwar dapat menjinakkan DAP. Anwar merupakan seorang ahli politik yang kuat dan sokongan kepada beliau bukan dari individu dari ahli parlimen, tetapi parti politik secara en bloc.
Kesetiaan DAP lebih tinggi kepada Anwar dan mereka lebih hormat Anwar berbanding Tun Dr Mahathir yang merupakan seteru politik DAP berdekad lamanya. Tiada keserasian semasa DAP di dalam PH sewaktu era Tun Dr Mahathir. Jadi, musuh politik Anwar kali ini tidak boleh mengganggap bahawa Anwar akan menerima nasib yang sama seperti pemerintahan Tun Dr Mahathir semasa kerajaan PH.
UMNO juga akan terus memberikan sokongan jitu melalui pimpinan tertingginya. Jika Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terus berkuasa di UMNO, tiada yang dapat mengganggu gugat sokongan parti itu kepada Anwar.
Majlis raja-raja juga telah perkenan memilih Anwar sebagai Perdana Menteri selain calon dari PN iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin. Isyarat jelas selepas ini siapa yang cuba menjatuhkan kerajaan, akan dilihat sebagai pengkhianat raja-raja Melayu dan menjadi pihak yang membawa kepada ketidakstabilan kepada negara.
Dari segi politik, tiada parti yang begitu kuat untuk menentang kekukuhan ‘di atas kertas’ kerajaan Perpaduan ini. Ia mungkin akan diterjemahkan pada Pilihanraya Negeri yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Anwar pemimpin yang sangat berpengalaman, seorang fighter yang telah diuji, seorang Perdana Menteri mandat rakyat bukan lantikan tebuk atap, pastinya beliau akan menggunakan kelebihan dan kuasanya sebagai Perdana Menteri yang ada di dalam mengukuhkan kerajaan Perpaduan di samping sokongan parti tertua negara iaitu UMNO. Kita menjangkakan kerajaan Perpaduan ini akan terus kukuh hingga tamat penggal.
Perjuangan Anwar menggemudi negara baru bermula ..