KUALA LUMPUR (15 Nov): PAS dijangka akan menjadi parti dominan di dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) selepas PRU15 ini. Perdana Menteri Sementara Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga mengakui bahawa PAS, sebagai sebuah parti yang besar dan mantap, sepatutnya menjadi parti dominan dalam Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, PAS sepatutnya mempunyai pandangan sendiri, dan berhak menyuarakannya dalam gabungan itu, termasuk dalam menentukan sama ada parti itu akan bekerjasama dengan parti atau gabungan lain selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Namun penganalisi politik melihat PAS dikekang oleh Bersatu di dalam menyuarakan hasrat mereka. Sebagai contoh baru-baru ini Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak berpuas hati dengan kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang menyatakan kesediaan PAS untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) selepas pilihanraya.
Takiyuddin yang dilapor menyatakan PAS sedia bekerjasama dengan BN jika tidak memperoleh majoriti mudah pada PRU15. Kemudian Pengerusi PN Muhyiddin membidas semula kenyataan itu bahawa gabungan itu tidak pernah memberi mandat kepada Takiyuddin untuk berunding dengan BN bagi tujuan membentuk Kerajaan selepas PRU15.
Ismail tidak menolak kemungkinan jika BN gagal memperoleh majoriti mudah, gabungan PAS dan UMNO akan dibincangkan diperingkat tertinggi parti bagi membentuk kerajaan pasca-PRU15.