KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mendakwa, pihaknya mengesan banyak parti politik dan calon melakukan aktiviti kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang boleh dianggap kesalahan pilihan raya.
Berdasarkan pemantauan, badan itu mendapati parti dan calon juga didakwa tidak menepati piawaian etika kempen pilihan raya yang adil seperti melanggar konvensyen amalan kerajaan sementara selepas pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
BERSIH mendakwa, antara kesalahan berkenaan termasuk pemberian minyak motosikal dan menukar minyak hitam percuma oleh Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) di beberapa kawasan Parlimen dan DUN.
“Sebagai contoh, pada 4 November, Pemuda PH Alor Gajah mengadakan program tukar minyak hitam percuma di Taman Vista Belimbing.
“Penyandang Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said juga mengadakan program sama pada 21 Oktober 2022.
“Aktiviti ini boleh menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, kesalahan lain di bawah akta sama yang didakwa berlaku termasuk program subsidi pulang mengundi dan sambutan perayaan atau karnival.
“DAP Pulau Pinang melancarkan program subsidi untuk pulang mengundi. Hasil siasatan pihak kami, mereka sudah menutup akses kepada pautan permohonan.
“Selain itu, pihak kami mendapati, calon PH Parlimen Klang dan ADUN Kota Kemuning, V Ganabatirau akan mengadakan program sambutan Deepavali DUN Pelabuhan Klang 2022 pada 12 November ini.
“Poster program itu menyatakan, akan ada cabutan bertuah dan jika beliau turut menyediakan makanan di majlis itu, beliau boleh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya,” dakwanya.
Sementara itu, BERSIH berkata, walaupun Malaysia tidak mempunyai undang-undang yang jelas berhubung penggunaan aset kerajaan dan ia masih tidak dijadikan kesalahan pilihan raya, amalan baik pilihan raya bersih dan adil seperti yang digariskan Artikel 3 dan 4 Kesatuan Antara Parlimen (IPU) serta Artikel 11 Deklarasi Bangkok menyatakan mengenai pemisahan antara kerajaan dan parti politik serta penggunaan sumber dan jentera kerajaan semasa proses berkempen.
BERSIH mendakwa, kehadiran calon BN Sungai Buloh pada Majlis Penyerahan Peranti Komuniti di Pusat Ekonomi Digitial (PEDi) di Parlimen itu hari ini, juga boleh dianggap sebagai menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen.
“Calon pilihan raya, parti politik, jentera kempen dan semua pihak yang terbabit, termasuk Menteri Sementara perlu berkempen dengan bersih dan mematuhi undang-undang, terutama Akta Kesalahan Pilihan Raya.
“Mereka perlu berkempen secara bersih dan adil, serta berdasarkan idea dan dasar yang ingin ditawarkan kepada rakyat untuk masa hadapan yang lebih baik,” katanya.