PONTIAN : Kerusi Parlimen Tanjung Piai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara penyandangnya Ahli Parlimen Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dan dua muka baharu.
Calon MCA, yang bertanding di bawah tiket Barisan Nasional itu berkata, beliau tidak akan leka walaupun sudah tiga penggal menjadi Ahli Parlimen Tanjung Piai.
“Saya tidak akan ambil mudah hanya kerana saya penyandang dan pernah menjadi Ahli Parlimen Tanjung Piai selama tiga penggal.
“Saya mempunyai banyak perancangan untuk menambah baik kehidupan penduduk di sini terutama soal kebajikan dan pendidikan. Untuk berbuat demikian, saya mesti terus bekerja keras dan mempertahankan kerusi saya,” katanya,
Wee yang merupakan anak tempatan dan dibesarkan di Tanjung Piai menambah, dia mahu melihat pembangunan lanjut di kawasan itu yang boleh menawarkan peluang pekerjaan yang baik kepada penduduk tempatan.
Beliau akan mempertahankan kerusinya menentang Lim Wei Jiet dari Malaysian United Democratic Alliance (Muda) dan Najwah Halimah Ab Alim dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang kedua-duanya bertanding buat kali pertama.
Lim berkata, beliau berharap dapat menawarkan sesuatu yang segar dan baharu kepada penduduk Tanjung Piai.
“Ia akan menjadi satu cabaran kerana kami akan menentang ahli Parlimen tiga penggal tetapi kami yakin dan akan melakukan yang terbaik,” kata pengasas bersama Muda itu.
Lim yang juga seorang peguam berkata, beliau akan mengisytiharkan hartanya tidak lama lagi dan berharap calon lain akan berbuat demikian juga.
Sementara itu, Najwah, yang merupakan Timbalan Pengerusi Tekun Nasional, berkata beliau tidak terpengaruh dengan pesaingnya.
“Kita akan lihat ramai pengundi baru dan muda mengundi buat kali pertama dalam pilihan raya ini dan bagi saya itu adalah perkara yang baik; mereka boleh membuat keputusan mengenai pemimpin yang mereka mahukan,” kata Najwah, yang merupakan calon mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia. (Bersatu).
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Datuk Dr Md Farid Md Rafik dari Bersatu memenangi kerusi itu dengan majoriti 524 dalam pertembungan tiga penjuru.
Dr Md Farid meninggal dunia pada September 2019, membuka laluan kepada pilihan raya kecil Tanjung Piai, yang diadakan pada November tahun yang sama.
Pada pilihan raya kecil itu, Wee memenangi kerusi Parlimen dengan majoriti 15,086 dalam pertembungan enam penjuru.