MARANG (3 Nov): Perikatan Nasional begitu sinonim dengan cara mempelawa ahli-ahli politik seteru mereka yang dibuang untuk menyertainya. Namun adakah langkah ini akan membawa kekuatan yang berpanjangan kepada PN ?
Langkah ini dilihat tidak menjamin kestabilan. Contohnya adalah semasa kerajaan PN memerintah. Ia penuh dengan politik dan ‘tawar-manawar’ sokongan.
Dalam isu yang sama, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa lebih ramai pemimpin Barisan Nasional (BN) menyatakan minat untuk menjadi calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Abdul Hadi berkata PN masih memproses permohonan mereka dan akan mengumumkannya pada hari penamaan calon Sabtu ini.
“Tak boleh sebut berapa kerusi. Paling penting kerusi di utara, tengah, dan selatan,” katanya dalam sidang media selepas majlis pengumuman calon PAS Terengganu di Rusila di sini pada Khamis malam.
Ditanya mengenai pengumuman Menteri Wilayah Persekutuan dan penyandang Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang berhasrat mempertahankan kerusi itu atas tiket PN, Abdul Hadi berkata Shahidan telah bersama PAS sejak berada di Parlimen dan cukup berani mengkritik kepimpinan UMNO.
Selain Shahidan, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib akan mempertahankan kerusi Parlimen Maran sebagai calon PN.
Shahidan dan Ismail adalah antara Menteri dan Timbalan Menteri dalam Kabinet BN di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang digugurkan daripada bertanding pada PRU15.
Abdul Hadi berkata kepimpinan PAS dan PN sebulat suara bersetuju dengan keputusan meletakkan calon daripada BN atas tiket PN, sambil menambah calon PN yang disenaraikan pada awalnya juga telah berundur secara sukarela untuk memberi laluan kepada calon baharu.
PN akan menggunakan logo bulan, bukan Perikatan Nasional di negeri Kedah, Terengganu dan Kelantan. Ia dikatakan lebih dikenali berbanding logo asal PN.