KEPALA BATAS – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan, care-taker Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican akan dilantik semula sebagai Menteri Kabinet jika BN diberi mandat oleh rakyat membentuk kerajaan jika menang di Parlimen Kepala Batas.
Ismail Sabri yang merupakan calon Perdana Menteri BN bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), yakin Reezal Merican yang diumumkan sebagai calon BN Parlimen Kepala Batas semalam akan mempertahankan kerusi itu bagi penggal ketiga pada 19 November ini berikutan pencapaian cemerlang dalam kerajaan.
Ismail Sabri menggambarkan bahawa Reezal merupakan ahli Parlimen dan Menteri Kabinet yang rajin kerana baru setahun lebih beliau memegang portfolio Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan, pelbagai program bagi kepentingan rakyat dilaksanakan.
Perdana Menteri berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Program Perumahan Rakyat (PPR), Masjid Bandar Putra Bertam dan Kepala Batas Youth Centre (KBYC) di sini pada Rabu.
Pada PRU14, Reezal Merican memenangi kerusi Parlimen Kepala Batas dengan 4,736 undi majoriti, menewaskan calon PKR, Dr Zaidi Zakaria dan Siti Mastura Muhammad (PAS), selepas memperoleh 22,459 undi.