Kuala Lumpur 17 Oktober : ADUN Bandau, Datuk Wetrom Bahanda mengumumkan memberi sokongan terhadap Parti Warisan (Warisan).
“Betul dan sudah dijangka. Dia mahu bertanding di kerusi Parlimen Kota Marudu menentang penyandangnya, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili,” kata Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun. Namun, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal tidak dapat mengesahkan perkara itu kerana Wetrom belum bertemu dengannya lagi.
UMNO kekal menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri jika Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sekaligus menafikan dakwaan pembangkang yang beliau akan dilantik ke jawatan itu jika BN kembali mentadbir kerajaan Persekutuan.
Beliau diminta mengulas berkenaan banyak Bahagian UMNO menyokong usul pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dan berkata jika pihak pembangkang memainkan isu sebaliknya, itu adalah kerana mereka ingin memecah-belahkan UMNO dan BN.
Pada perkembangan lain, sasaran UMNO adalah untuk memenangi 112 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekali gus membentuk kerajaan.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bagaimanapun sasaran sebenar parti gabungan itu bukanlah hanya dari segi jumlah kerusi tersebut namun lebih daripada itu.
Ketika ditanya mengenai pembahagian kerusi dalam komponen BN, Mohamad berkata, perkara itu belum diputuskan lagi.
“Walaupun kami sudah duduk (ketua parti komponen) dua, tiga kali tapi belum ada lagi kata putus. Kami akan berjumpa kepemimpinan parti MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) untuk pastikan pembahagian kerusi dapat dibuat dengan sebaik mungkin,” katanya.