Klang : Mahkamah Majistret di sini memerintahkan bekas pengurus bank, yang sepatutnya didakwa hari ini berhubung penipuan pelaburan menggunakan simpanan pelanggan, menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Perak.
Majistret Amirul Asyraf Abd Rasid membuat perintah itu selepas membenarkan permohonan peguam Denis Micheal Pereira, supaya anak guamnya dirujuk ke hospital psikiatri untuk pemeriksaan mental.
Denis berkata, anak guamnya yang berusia 59 tahun kini sedang bercuti sakit dari 12 hingga 19 Okt lepas yang dikeluarkan Jabatan Psikiatri Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang kerana mengalami masalah mental.
“Permohonan saya dibuat mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Nur’ain Madihah Zulkilfi tidak membantah permohonan itu.
Mahkamah menetapkan 6 Dis untuk sebutan semula kes.