KUALA LUMPUR : Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Puad Zarkashi berkata sudah bersedia dari awal, kita mahu pilihan raya dilakukan secepat mungkin.
“Kami mahu kerajaan yang stabil, banyak pilihan raya kecil telah membuktikan rakyat mahu BN kembali berkuasa,” katanya kepada wartawan ketika dihubungi.
Puad menambah sebagai contoh, kerajaan Barisan Nasional mempunyai rekod prestasi yang cemerlang dalam menguruskan kualiti pendidikan negara.
“Apabila rakyat memberi mandat yang lebih kuat kepada BN dengan majoriti penuh, saya percaya kerajaan akan dapat memberi lebih tumpuan kepada sistem pendidikan,” katanya.
Puad berkata sistem pendidikan adalah antara fokus utama BN sebagai kerajaan,
“Apabila kerajaan majoriti lemah, menteri pun daripada pembangkang yang tiada pengalaman, maka kita dapat apa yang kita lihat hari ini,” katanya.
Puad mendakwa Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin tidak mempunyai pengalaman dalam bidang pendidikan justeru kita tidak nampak sebarang usaha ke arah menambah baik sistem pendidikan.
“Kami yakin BN dan UMNO akan berjaya pada PRU15. Kita mahu kerajaan stabil, yang mampu membuat keputusan dalam keadaan tidak terancam, diugut dan sebagainya,” katanya.
Puad menegaskan, dalam tempoh 6 bulan menerajui kerajaan negeri Johor, BN telah berjaya memperoleh RM61 bilion nilai pelaburan ke negeri itu.
“Kita mahukan kesinambungan yang sama untuk seluruh negara seperti yang kami lakukan di Johor,” katanya.