Oleh NS ALI
KUALA LUMPUR: Pakar ekonomi menasihatkan kerajaan untuk mengurangkan pembaziran dan memerangi rasuah untuk bertahan dalam kemelesetan ekonomi global.
Pakar Ekonomi Veteran, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata beliau tidak bersetuju dengan pandangan Menteri Kewangan yang menyatakan Malaysia tidak akan terjejas oleh kemelesetan global.
“Dalam ekonomi terbuka dan dengan globalisasi kita tidak boleh diasingkan daripada kemelesetan ekonomi yang berlaku di sekeliling kita,” katanya.
Ramon menambah Malaysia mungkin tidak terjejas teruk, kerana ekonomi kita dipelbagaikan, tetapi kita mempunyai kelemahan yang akan muncul jika ekonomi dunia mula terkesan.
“Kami akan merasakan kesannya tetapi tidak seteruk yang lain. Kita perlu bersedia dalam perancangan belanwan negara untuk menghadapi kelembapan (ekonomi),” katanya.
Ramon memberi amaran bahawa Malaysia mesti bersungguh-sungguh memerangi rasuah dan pembaziran.
“Kita mesti menyesuaikan Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk menghadapi cabaran dunia luar dari segi kemelesetan, dalam erti kata lain, kita tidak boleh menjadi proteksionis sebaliknya kita perlu berdaya saing secara dalaman dan dengan pasaran luar,” katanya.
Ketika ditanya apa yang rakyat boleh lakukan sebagai persediaan menghadapi kemelesetan ekonomi, Ramon berkata dengan pendapatan rendah dan kadar pengangguran yang semakin meningkat, tidak banyak yang boleh dilakukan, dan rakyat perlu bergantung kepada kerajaan untuk melakukan lebih banyak lagi.
“Mereka tidak boleh mendapat pekerjaan baharu, atau pekerjaan yang lebih baik, dan kadar produktiviti mereka tidak boleh bertambah baik pada masa yang singkat, inflasi yang berlaku yang akan terus menekan mereka,” katanya.
Ramon menambah oleh itu, kerajaan mesti melindungi kumpulan ini terlebih dahulu kerana ia adalah tanggungjawab mereka.
Sebelum ini, Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata Malaysia tidak berhadapan atau menuju ke arah sebarang krisis ekonomi atau kewangan.
Menurut Tengku Zafrul, keadaan ekonomi negara sekarang amat jauh berbeza berbanding krisis ekonomi sebelum ini berikutan asas-asas ekonomi dan sistem kewangan yang kini jauh berbeza.
Jelasnya, Krisis Kewangan Asia 1997/98 menyebabkan negara melaksanakan pelbagai pembaharuan ekonomi dan kewangan seperti struktur ekonomi domestik yang lebih pelbagai, disokong oleh sistem kewangan yang bemodal baik dan kedudukan luaran yang kukuh.
Pasaran kewangan negara sekarang sangat terbuka dengan penyertaan pelabur asing yang tinggi dan negara mempunyai lebihan akaun semasa, didorong oleh eksport yang pelbagai.
“Setakat tahun ini, akaun semasa kekal positif dengan jumlah RM3 bilion pada suku pertama dan RM4.4 bilion pada suku kedua.
“Oleh itu, walaupun kini kita dilanda beberapa cabaran yang berpunca daripada faktor luaran yang berada di luar kawalan kerajaan, saya ingin menegaskan bahawa negara kita tidak berhadapan atau menuju ke arah sebarang krisis ekonomi atau kewangan,” katanya ketika menjawab soalan lisan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) di Dewan Rakyat.
Menurutnya, keadaan ini pernah berlaku ketika negara mengalami Krisis Kewangan Asia dan yang terbaharu, ketika dilanda pandemik Covid-19.
“Ketika Krisis Kewangan Asia, ekonomi menguncup sebanyak -7.4 peratus, manakala ketika Krisis Kewangan global, KDNK menguncup -1.5 peratus dan terkini ketika puncak Krisis Covid-19, menguncup -5.5 peratus
“Saya juga ingin menekankan bahawa Krisis Kewangan Asia 1997/98 juga disifatkan sebagai antara krisis ekonomi terburuk yang pernah Malaysia hadapi sehingga kini,” katanya.
Beliau berkata, ketika itu matawang negara jatuh hampir 54 peratus pada tahun 1997 dengan kadar terendah sehingga RM4.88 bagi setiap AS$1.
Katanya, pasaran saham negara juga terkesan dengan begitu teruk apabila indeks pasaran saham ketika itu (KLSE) menurun lebih 800 mata dalam masa singkat (dua bulan), iaitu dari 1,077 mata pada Jun 1997 kepada 262.7 mata pada September 1997.
“Negara juga mengalami defisit akaun semasa pada tahun 1997 dengan kekurangan melebihi RM16.7 bilion. Pada akhir 1997, Bank Negara meningkatkan kadar faedah kepada 11 peratus untuk menangani penurunan Ringgit dan mengawal inflasi, serta mengekalkan tahap kadar faedah pada 7 peratus menjelang hujung 1998,” katanya.
Menurut Tengku Zafrul, sepanjang krisis itu, lebih 102,000 rakyat kehilangan pekerjaan, manakala kadar inflasi melonjak kepada 6.2 peratus pada Jun 1998 sebelum menyederhana kepada 5.3 peratus pada penghujung tahun itu.