KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digesa untuk mengumumkan pendiriannya soal pembubaran Parlimen.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menegaskan bahawa perkara ini mesti dijelaskan oleh Perdana Menteri.”.. beliau perlu menunjukkan kepimpinan, jangan main-main lagi dengan soal tarikh PRU”, tegasnya.
Teka-teki pembubaran parlimen sudah berlarutan terlalu lama. Ianya tidak bagus untuk negara dan akan memberi kesan kepada keyakinan dalam kalangan pelabur menurut Anthony.
“Ketidaktentuan ini perlu dijelaskan dengan secepat mungkin, kalau beliau mahu bubarkan Parlimen, buat sahajalah.
“Kalau beliau tidak ada niat nak bubar, cakap sahajalah. Sekurang-kurangnya kita jelas supaya negara kita boleh bergerak ke hadapan,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen semalam.
Ditanya pandangan beliau selepas mendengar Bajet 2023 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz petang tadi, beliau berkata Bajet 2023 itu adalah ‘gula-gula’ yang diagihkan kepada setiap segmen masyarakat dan sangat jelas menunjukkan kerajaan mahu menggunakan bajet ini sebagai manifesto pilihan raya.