KENYATAAN beberapa pemimpin tertinggi Pas yang dilihat masih bermain ‘tarik-tali’ dalam memuktamadkan kerjasama antara Muafakat Nasional (MN) dengan UMNO atau Perikatan Nasional (PN) menerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), dilihat boleh menjerat serta mencemarkan imej parti itu.
Ramai yang telah melabelkan Pas dengan istilah ‘dua kolam’ . PAS cuba untuk menjadi ‘king maker’ atau orang tengah antara UMNO dan Bersatu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Tetapi bagi rakyat biasa dan segelintir penyokong ahli bawahan PAS, mereka melihat ini hanya percaturan untuk kepentingan kuasa pemimpin tertinggi.
PAS di dalam dilema kerana Presiden Bersatu yang juga Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara lantang melabelkan Barisan Nasional (BN) sebagai musuh mereka pada PRU15, manakala UMNO meletakkan syarat kepada parti itu sekiranya ingin kembali menjalin kerjasama politik menerusi MN iaitu keluar daripada PN.
Syarat itu dilihat tampak sukar untuk dipenuhi oleh Pas kerana mereka dilihat semakin selesa dengan Bersatu menerusi gabungan PN kerana PAS tidak lagi dilihat parti yang kecil di dalam gabungan itu. Apabila bersama MN, mereka tidak boleh menyaingi kekuatan dominasi UMNO.
Pas dan Bersatu kerap dilihat menjalankan program secara bersama sejak menjadi sebahagian daripada kerajaan di peringkat persekutuan, tetapi pada masa yang sama tetap mahukan penyatuan dengan UMNO.
PAS harus sedar penyatuan Ummah ketiga-tiga parti ini sukar untuk dibuat kerana ‘permusuhan’ antara Zahid dan Muhyiddin tidak boleh didamaikan. Terdapat naratif yang berbunyi jika ‘Zahid masuk dalam’, mungkin senarionya berbeza di mana PN berharap Presiden UMNO akan dipimpin oleh Datuk Seri Ismail Sabri.
PAS juga harus sedar perjuangan mereka di pantai timur juga mencabar kerana UMNO Kelantan masih ‘berkeras’ untuk bergerak solo melawan Pas termasuk di Terengganu apabila UMNO konsisten mahu menawan negeri itu kembali.
Ia bukan tugas mudah buat PAS berdepan PRU15 kali ini. Berpandukan rekod PRU14 lalu Pas hanya ada 18 kerusi Parlimen dan mengekalkan Kelantan serta menawan Terengganu.
Di Kedah, Pas hanya gagah membentuk kerajaan sambil disokong oleh Bersatu dan UMNO sahaja.