PETALING JAYA: Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Timbalan Menteri Pertahanan telah membuat laporan polis terhadap Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berhubung dakwaan berkaitan tender pembelian aset ketenteraan.
Sebelum ini, Rafizi memuat naik satu artikel dalam Facebooknya yang bertajuk ‘Batal Niat Surat Anugerah Kontrak Meriam SPH Kepada Syarikat Ada Kaitan Anak Menteri’ dan mengaitkan nama Ahli Parlimen Tanah Merah itu dengan sebuah syarikat.
Ikmal menegaskan artikel itu adalah satu fitnah dan pembohongan untuk mencemarkan nama baiknya.
Ikmal menerangkan bahawa beliau tiada kuasa untuk menentukan siapa yang memperoleh kontrak dan semuanya harus mengikut prosedur perolehan.
Menurut Ikmal Hisham lagi, dakwaan Rafizi itu boleh menyemarakkan kebencian orang awam terhadapnya.
Jelasnya, beliau menyerahkan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk menyiasat atau mendakwa Rafizi melalui peruntukan undang-undag sedia ada.
Beliau juga bersedia bekerjasama dalam sebarang siasatan yang dijalankan oleh mana-mana agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).