PUTRAJAYA: Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan memberi bayangan sekiranya Parlimen dibubarkan dalam masa beberapa hari lagi, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak akan berlaku ketika musim banjir.
Saravanan berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sudah mengeluarkan laporan bahawa banjir mungkin berlaku selepas 15 November.
“Soal pokoknya, siapa kata nak adakan PRU15 masa banjir? Kita lihat laporan MetMalaysia mungkin banjir berlaku selepas 15 November (tapi) kalau esok lusa Parlimen dibubarkan, kita masih boleh adakan PRU15 pada minggu pertama atau kedua selepas bubar (Parlimen).
“Dalam Kabinet pun kita sudah berbincang secara meluas mengenai langkah untuk mengatasi bencana dan apa persediaan yang patut dibuat maka kerajaan hari ini bersedia sekiranya PRU15 diadakan sebelum November,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan tiada banjir besar dijangka berlaku membabitkan mana-mana negeri di Malaysia dari sekarang sehingga awal November kerana negara belum memasuki Monsun Timur Laut. Perkara itu dimaklumkan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) MetMalaysia, Lim Ze Hu.
Beliau bagaimanapun berkata, dalam tempoh peralihan monsun yang bermula pada bulan ini dan berterusan hingga November ini, beberapa kawasan masih terdedah kepada hujan serta ribut petir pada sebelah petang.
Mengulas lanjut, Saravanan juga percaya rakyat mampu untuk membuat pilihan bijak dan terbaik pada PRU15 kali ini.
“Saya pelik takkan pembangkang ‘baik’ sangat, kalau kerajaan hari ini buat kesilapan besar buat PRU15 ketika banjir, jika rakyat marah biarlah rakyat marah. Itu kan memihak kepada pembangkang, takkan tiba-tiba mereka nak jaga kepentingan kita. Ini adalah sandiwara politik sebab mereka takut rakyat tak undi pembangkang selepas 22 bulan menderita,” ujarnya.