Qatar telah menolak tuntutan negara Israel supaya ia dibenarkan membuka konsulat sementara di Negara Teluk sepanjang tempoh Piala Dunia FIFA akhir tahun ini. Kerajaan Israel dikatakan menggesa FIFA untuk memberi tekanan kepada Doha supaya perkara ini dibenarkan.
Menurut media Israel, rundingan antara Qatar dan Israel dalam hal ini telah gagal. Walaupun saluran i24NEWS Israel mendakwa beberapa hari lalu bahawa rundingan rahsia sedang berlangsung antara Doha dan Tel Aviv, sumber Qatar mengesahkan kepada Alaraby Aljadeed bahawa permintaan ini tiba melalui FIFA, bukan Israel. Sumber yang sama menafikan sebarang hubungan langsung antara Israel dan Qatar.
FIFA mengumumkan pada Jun bahawa persetujuan telah dicapai membenarkan warga Israel mengembara dan menonton Piala Dunia di Qatar tanpa memerlukan visa. Laporan mengenai pejabat konsular untuk mengendalikan hal ehwal penyokong bola sepak dari Israel semasa di Doha mendakwa bahawa, “Qatar menetapkan penubuhan negara Palestin untuk menormalkan hubungan dengan Israel.” Sementara itu, Israel nampaknya mempunyai harapan untuk mengekalkan pejabat terbuka selepas kejohanan, dan dengan itu bertapak di Negara Teluk.
“Cinta bola sepak dan sukan menghubungkan rakyat dan negara,” kata Perdana Menteri Israel Yair Lapid awal tahun ini, “dan Piala Dunia pada November membuka pintu baharu untuk kami mengeratkan hubungan [dengan Qatar].”