GEORGE TOWN: Masih ada masa untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tahun ini dan perkara itu akan dibincangkan dengan lima pemimpin tertinggi UMNO (Top 5), kata Perdana Menteri.
Barisan ‘Top 5’ pimpinan UMNO itu merujuk kepada Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ismail Sabri sendiri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan ‘Top 5’ sebelum pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober ini bagi membincangkan tarikh pembubaran Parlimen.
“Seperti yang saya jelaskan sebelum ini, sebarang keputusan (tarikh pembubaran Parlimen) hanya akan dibuat oleh ‘Top 5’ UMNO,” kata Perdana Menteri kepada pemberita selepas Kongres Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (WCIT) 2022 di Bayan Baru semalam.
Ismail Sabri berkata demikian ketika ditanya sama ada masih ada masa untuk mengadakan PRU15 pada tahun ini memandangkan hanya ada kira-kira tiga bulan sahaja sebelum melangkah ke tahun baharu.
Ditanya sama ada beliau akan membentangkan Bajet 2023, Ismail Sabri menjawab: “Tunggu sahaja 7 Oktober ini (hari pembentangan Bajet 2023)”.