Johor Bahru 11 September : Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan bin Md Yusof menyeru agar parti-parti politik Melayu bersatu di dalam menghadapi pilihanraya umum yang ke 15 tidak lama lagi.
Beliau mengajak semua mengambil iktibar dari ‘pengkhianatan’ parti komponen Pakatan Harapan sebelum ini di mana DAP tidak membawa agenda untuk memperkasakan orang Melayu malah menekan dengan polisi-polisi yang dilihat mengancam hak-hak orang Melayu.
“Sebab itu Bersatu mengambil jalan keluar di masa itu demi untuk memastikan agenda perjuangan Melayu terpelihara, termasuk bekerjasama dengan ‘musuh’ politik pilihanraya sebelum ini”, ujar beliau yang hadir bagi merasmikan Persidangan Cawangan-cawangan Bersatu Johor Bahru di Bandar Baru Uda semalam.
Beliau berkata, jika pemimpin parti-parti politik Melayu dapat menurunkan ‘ego’, kepentingan diri dan meletakkan asas perjuangan Melayu sebagai perkara utama, tidak mustahil kerajaan yang dibentuk selepas PRU15 adalah majoriti 2/3 daripada kepimpinan Melayu.
Peluang di sektor pendidikan dan ekonomi perlu diperkasakan semula dengan seluas-luasnya supaya manfaat tersebut dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat Melayu. Ia hanya dapat dilestarikan jika kepimpinan Melayu terus menjadi majoriti sebagai pembuat dasar-dasar itu, ujarnya.