California, 6 Sept — Leonard Glenn Francis, kontraktor tentera yang mempunyai syarikat di Singapura, yang diletakkan di bawah tahanan rumah selepas mengaku bersalah mendalangi skandal rasuah awam terburuk dalam sejarah Tentera Laut AS, kini dilaporkan dalam buruan.
Francis, yang juga dikenali dengan nama samaran “Fat Leonard”, memotong gelang buku lali pemantauan GPSnya pada pagi Ahad baru-baru ini, kata Timbalan Penyelia Marsyal AS Omar Castillo kepada The San Diego Tribune.
Fat Leonard dilaporkan akan mengetahui keputusan hukuman dirinya pada 22 September ini.
Castillo dipetik sebagai berkata jiran telah melihat trak bergerak keluar masuk dari rumah Francis pada hari sebelumnya.
Pegawai polis San Diego mendapati rumah tahanan itu kosong, menyebabkan Pejabat Marsyal AS dimaklumkan pada pukul 2 petang semalam, yang mengaktifkan Pasukan Petugas Pelarian Serantau San Diego dan memulakan pemburuan berprofil tinggi, katanya dilaporkan.
Beliau dilaporkan menambah bahawa agensi penguatkuasaan undang-undang akan dimaklumkan untuk berwaspada manakala amaran akan diletakkan di sempadan antarabangsa dan juga lapangan terbang.
Bagaimanapun, dia dilaporkan mengakui bahawa Francis mungkin sudah menyeberang ke Mexico.
Francis dilaporkan mengaku bersalah pada 2015 atas tuduhan dia memberi pegawai Tentera Laut AS wang tunai, hadiah dan pekerja seks sebagai pertukaran maklumat sulit tentang tempat kapal dijadualkan berlabuh.
Dikatakan dia kemudiannya akan ‘menjamu’ pegawai itu dengan hadiah mahal untuk pasangan mereka dan membayar perjalanan percutian selama seminggu ke Singapura dan Malaysia untuk salah seorang keluarga mereka.
Dia didakwa melakukan semua ini supaya dia boleh mendapat kontrak untuk menghantar kapal pengangkut pesawat dan kapal lain ke pelabuhan yang dikawal oleh syarikatnya yang berpangkalan di Singapura, Glenn Defense Marine Asia.
Dia juga dilaporkan memujuk pegawai-pegawai ini untuk mengalihkan kapal lain yang berpangkalan di AS ke pelabuhannya hanya supaya dia boleh mengenakan caj berlebihan untuk bahan api, bekalan dan perkhidmatan lain.
Disebabkan isu kesihatan, Francis dibebaskan dengan cuti perubatan dan dikenakan tahanan rumah sejak 2018, di bawah pengawasan Perkhidmatan Praperbicaraan, sebuah agensi persekutuan di AS yang mengawasi defendan yang berada di luar tahanan sehingga hukuman.
Dia telah dilaporkan bekerja sebagai saksi kerjasama untuk pendakwa raya persekutuan yang sedang membina kes terhadap orang lain yang terlibat dalam skandal itu semasa dia berada di rumah.
Menurut laporan berita, piawaian Tentera Laut AS menetapkan bahawa pegawai hanya dibenarkan menerima hadiah bernilai AS$20 (RM77.76) atau kurang atau dengan had tidak lebih AS$50 (RM194.40) setahun daripada seorang atau entiti.