spot_img
spot_img

Kelas Hibrid bakal dilengkapi teknologi digital

spot_img

PUTRAJAYA: Sebanyak 550 kelas daripada 110 buah sekolah di seluruh negara bakal terpilih untuk terlibat dalam projek khas Rintis Kelas Hibrid yang akan bermula November nanti.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, pelaksanaan fasiliti itu merupakan antara sebahagian Program Transformasi Pendidikan Digital Institusi Pendidikan.

“Setiap sekolah akan memiliki lima kelas hibrid yang dilengkapi capaian internet dinaik taraf berasaskan teknologi SDWAN dan LAN,” katanya.

- Advertisement -

Sebelum itu, beliau hadir melancarkan Majlis Transformasi Pendidikan: Pemerkasaan ICT (2019-2023) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 18 (1) di sini.

Ia selaras misi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) ke arah penggunaan teknologi digital dalam ekosistem sekolah termasuk sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Beliau turut menyerahkan peranti kepada 25 sekolah di Putrajaya bagi keperluan PdP di bawah Projek Perkhidmatan Sewaan Perkakasan ICT.

- Advertisement -

Dr. Radzi berkata, institusi yang terpilih itu akan merangkumi Sekolah Menengah (SM) harian, SM Pendidikan Khas, SM Teknik, SM Agama dan sekolah genius.

Tidak ketinggalan Sekolah Berasrama Penuh (SBP), sekolah sukan, sekolah seni, kolej vokasional serta kolej matrikulasi termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Insya-Allah, pihak kementerian dalam peringkat akhir pemilihan sekolah yang akan terbabit dan sekiranya berjaya, tidak mustahil projek ini bakal diperluaskan lagi,” jelasnya penuh yakin.

Beliau menambah, menerusi kelas hibrid tersebut, pihak sekolah akan berupaya untuk mengatur pengajian secara bersilang dengan sekolah-sekolah yang lain termasuk dari luar negara.

Kaedah itu bukan sekadar memperkukuh lagi penyampaian PdP sedia ada di kelas, malah guru dan murid boleh berkongsi kaedah pengajian terbaik daripada sekolah yang cemerlang.

Mereka jelas beliau, akan lebih terbuka sehingga ke peringkat antarabangsa bagi mencapai kandungan pembelajaran untuk subjek tertentu yang bakal memberi manfaat besar dan luas.

Dr. Radzi memberi contoh, sekiranya guru tidak dapat hadir mengajar, murid masih lagi dapat mengikuti PdP dengan menyaksikan bahan dikongsikan sekolah lain ketika waktu tersebut.

Pihak sekolah juga tambah beliau, boleh belajar kreativiti cara teknik penyampaian subjek oleh guru pakar dari sekolah tertentu untuk mempelbagaikan kaedah agar murid tidak lagi bosan.

Ditanya adakah pihak kementerian menetapkan platform tertentu untuk tujuan itu, beliau berkata, ia akan dimuktamadkan dalam masa terdekat sebelum pelaksanaannya bermula kelak.

“Pada masa sama, saya memberi jaminan bahawa segala inisiatif dilakukan ini akan sejajar dengan Dasar Pendidikan Digital yang sedang digubal oleh pihak kementerian,” tambahnya.

Justeru, beliau berharap, masyarakat khususnya generasi muda akan dapat menyesuaikan diri dengan perubahan dilakukan itu demi memastikan negara ini terus bergerak ke hadapan. – UTUSAN

 

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img