SHAH ALAM – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan kerjasama BigPay menganjurkan Kempen Merdeka With BigPay! bersempena Bulan Kemerdekaan.
PTPTN dalam satu kenyataan berkata, Kempen Merdeka With BigPay! ini terbuka kepada semua pengguna aplikasi BigPay yang membuat bayaran balik pinjaman PTPTN di dalam tempoh kempen iaitu 15 Ogos hingga 30 September 2022.
Menurut kenyataan itu, kempen itu diadakan bertujuan untuk menggalakkan dan memudahkan peminjam membuat bayaran balik pinjaman pendidikan PTPTN sekali gus berpeluang memenangi ganjaran istimewa.
“Melalui kempen ini, pelanggan yang menggunakan aplikasi BigPay untuk membuat bayaran balik pinjaman PTPTN akan berpeluang menerima pemberian ganjaran,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut kenyataan itu, menerusi kategori bayaran balik pinjaman minimum RM2,000 secara one off menggunakan BigPay, mereka akan menerima RM50 pulangan tunai dan enam kali mata ganjaran yang akan dikreditkan ke e-dompet BigPay.
“Bilangan pemenang ialah seramai 100 pengguna terawal setiap bulan Ogos dan September dan jumlah keseluruhan pemenang yang layak adalah 200 orang,” katanya.
“Setiap pengguna layak menerima pemberian ganjaran sekali sahaja untuk setiap kategori. Pemenang kempen akan diumumkan melalui media sosial BigPay.
“Pemenang akan menerima mata ganjaran dan cashback dalam tempoh 30 hari setelah tamat kempen. Pemenang ganjaran tiket penerbangan domestik pula perlu menghubungi Bahagian Pemasaran BigPay,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, kempen bayaran balik pinjaman PTPTN secara atas talian atau melalui aplikasi mudah alih adalah platform terbaik mendekatkan golongan belia dengan PTPTN.
“Mereka cenderung dalam penguasaan teknologi terutama kemudahan digital yang memberi manfaat kepada mereka. Malah, BigPay yang telah bekerjasama dengan PTPTN sejak tahun 2018, sentiasa menyokong usaha PTPTN dalam menggalakkan peminjam PTPTN membuat bayaran balik pinjaman dengan konsisten selain menjayakan agenda pendigitalan yang dihasratkan Kerajaan.
“PTPTN amat menggalakkan sekiranya terdapat badan korporat yang ingin berkolaborasi melaksanakan kempen sebegini bersama PTPTN,” katanya.
Beliau berkata, PTPTN berharap kempen itu akan memberi peluang dan memudahkan para peminjam PTPTN untuk membuat bayaran balik secara konsisten melalui BigPay.
Untuk maklumat lanjut mengenai Kempen Merdeka With BigPay!, layari portal rasmi di www.ptptn.gov.my.