PETALING JAYA: Duopharma Biotech Berhad (Duopharma Biotech) mencatatkan pertumbuhan untung bersih sebanyak RM16.31 juta, naik enam peratus pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Peningkatan tersebut didorong oleh jualan yang lebih baik dalam segmen klasik beretika dan sektor kesihatan awam.
Pada suku tersebut, syarikat telah mencatatkan pendapatan sebanyak RM181.74 juta, naik 17 peratus dari tempoh sama tahun sebelumnya yang seterusnya menghasilkan pendapatan sesaham yang lebih baik sebanyak 1.72 sen, berbanding 1.63 sen tahun sebelumnya.
Syarikat telah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 0.5 sen sesaham berjumlah kira-kira RM4.762 juta untuk tempoh kewangan semasa berakhir 30 Jun 2022.
Sementara itu, modal saham syarikat telah meningkat daripada RM405.85 juta pada akhir 2021 kepada RM419.36 juta pada 30 Jun tahun ini
Pengarah Urusan Duopharma Biotech Group, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, pihaknya yakin terhadap prestasi syarikat untuk baki tahun ini, disokong oleh momentum pertumbuhan positif yang dilihat dalam ekonomi Malaysia.
Katanya, ini berikutan pembukaan semula sempadan antarabangsa, serta peningkatan peruntukan belanjawan kerajaan dalam segmen farmaseutikal pada tahun ini.
“Tender kerajaan sebanyak RM375 juta untuk membekalkan Insugen-Insulin Recombinant Human Formulation selama tiga tahun sehingga 2025 dijangka menyumbang secara positif kepada keuntungan masa depan syarikat.
“Selain itu, pelanjutan kontrak untuk terus membekalkan produk farmaseutikal dan bukan farmaseutikal kepada hospital kerajaan dan klinik sehingga akhir 2022 juga akan turut menyumbang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya sentiasa meneroka peluang baharu bagi mengembangkan portfolio produk mereka dalam sektor kesihatan dan kesejahteraan bagi menampung permintaan yang semakin meningkat untuk tawaran dalam masyarakat yang semakin menua.
“Kami juga sedang mencari potensi penggabungan dan pengambilalihan (M&A) dalam ASEAN untuk meningkatkan pendapatan luar negara kami,” ujarnya. – UTUSAN