Ketereh 6 Ogos : Menteri Komunikasi & Multimedia, Tan Sri Annuar Musa membayangkan pilihanraya umum yang ke 15 sudah semakin hampir dan akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.
Menurutnya, yang membimbangkan adalah di mana parti-parti Melayu masih lagi bercakaran antara satu sama lain.
Beliau hairan kenapa ‘serangan’ tidak dihalakan kepada PH ataupun DAP. Kenyataan tersirat ini merujuk kepada perbalahan berterusan di antara Parti UMNO dan Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada Bersatu dan PAS.
Beliau mengingatkan bahawa sejarah PRU14 boleh berulang di mana parti bukan Melayu yang dominan boleh membentuk kerajaan semula jika parti-parti Melayu tidak bersatu-padu dan yang rugi adalah orang Melayu itu sendiri.
“Tumpuan haruslah kepada meningkatkan
perpaduan, membina permuafakatan dan menyusun saf yang padu. Itulah formula kemenangan”, kata ahli Parlimen Ketereh itu di majlis UMNO Melaka.
Tan Sri Annuar Musa dilihat menyokong penyatuan Perdana Menteri Ismail Sabri dan PN. Beliau sering dilihat seakan-akan tidak bersependapat dengan suara majlis tertinggi UMNO.
Paling ketara ialah semasa Perhimpunan Agung Khas UMNO, di mana beliau tidak berdiri bersama pimpinan lain sebagai tanda sokongan semasa ucapan Pengerusi Presiden Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menggesa diadakan pilihanraya awal.
Dua penganalisis menyifatkan Ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa sebagai ahli Umno yang berani dan tiada apa untuk dirugikan berikutan “keingkaran” terang-terangannya terhadap gesaan presiden parti Ahmad Zahid Hamidi agar pilihan raya umum (PRU) disegerakan.
Bagaimanapun, penganalisis berkata, Annuar adalah antara minoriti ahli Umno yang tidak mahu PRU15 diadakan awal, walaupun beliau mendakwa ramai dalam Barisan Nasional (BN) menentangnya.
James Chin daripada Institut Asia Universiti Tasmania percaya bahawa majoriti ahli Umno – terutamanya penyokong akar umbinya – mahu PRU15 diadakan secepat mungkin.
Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara percaya terdapat beberapa puak dalam Umno yang menentang PRU15 kilat dan juga lebih cenderung kepada pakatan Muafakat Nasional (MN) yang dibina bersama PAS.
Annuar tergolong dalam kumpulan ahli Umno ini, kata Azmi.
“Beliau lebih cenderung untuk Umno bukan sahaja bertanding bawah MN malah bekerjasama dengan Bersatu,” katanya.
Bagaimanapun, beliau bersetuju dengan Chin bahawa kumpulan ini adalah minoriti dalam parti.
Kekuatan Umno sekarang hanya tergugat apabila bekerjasama dengan PAS dan lebih-lebih lagi Bersatu, tambahnya.
“Ya, Zahid tidak mendapat sokongan 100% daripada Umno dan juga BN. Namun, kita perlu memberi kredit kepada Zahid dan pasukannya. Sejak keputusan PRU14, Umno kini paling kuat berbanding parti politik lain.”