KUALA TERENGGANU – Muhammad Badrul Amin Muhammad Rapingi, 22, yang menjual burger pada harga RM2 sebiji sejak dua tahun lalu. Walaupun ada pelanggan yang berasa kasihan dan meminta dia menaikkan harga sedikit, namun Amin tetap dengan harga RM2.
Gerai Amin terletak di Jalan Budiman, bermula operasi jam 6 petang setiap hari kecuali hari Jumaat.
Amin berkata harga tersebut akan dikekalkan selagi mana dia mampu bertahan dengan kenaikan kos harga barang mentah. Ini kerana jualan burger dengan harga mampu milik tersebut pada asalnya disasarkan kepada penduduk setempat yang berpendapatan rendah, pelajar sekolah dan mereka mempunyai jumlah anak ramai.
(Muhammad Badrul Amin Muhammad Rapingi)
Walaupun berharga RM2, Amin tetap mementingkan kualiti agar pelanggan berpuas hati dengan wang yang mereka belanjakan. Belum ada reaksi negatif daripada pelanggannya setakat ini, katanya dipetik melalui laporan Sinar Harian.
Berkongsi kisah permulaan perniagaan burger miliknya, bekas pembantu café di ibu negara itu berkata, ia bermula dua tahun lalu ketika dia mengambil keputusan pulang ke kampung untuk menjaga ibu selepas kematian bapanya sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.
Ketika itu katanya, jualan burger dilakukan secara kecil-kecilan bersama seorang saudara di hadapan rumahnya di Kampung Kubur Kecil, Jalan Panji Alam, di sini dengan purata kira-kira 100 biji burger dapat dijual pada setiap hari.
Selepas lebih setahun beroperasi, dia mengambil keputusan berniaga di Jalan Budiman pula untuk kembangkan perniagaannya kerana lokasi lebih strategik dan ia membuahkan hasil apabila jualannya meningkat kepada 300 biji sehari.
Menurut Amin, kini perniagaannya mula melonjak ke 600 biji sehari hanya selepas satu posting di sosial media oleh pelanggannya, Burger RM2. Oleh kerana sambutan diterima begitu tinggi, Amin juga membuka kembali gerai burger di depan rumah dan turut mengupah lapan orang pekerja.
Jelas Amin, sambutan tersebut di luar dugaan namun dia berjanji untuk berusaha memberi perkhidmatan terbaik sekaligus menolak tanggapan bahawa burger yang dijual murah tidak sedap dan menggunakan barang kurang berkualiti.
Amin bercadang untuk mengembangkan perniagaan burger RM2 ini dengan membuka gerai di lokasi lain pula selepas ini.
Rasanya bagaimana pula kalau sambutan burger RM2 ini di kawasan anda ?
foto : Sinar Harian