PETALING JAYA: Veteran DAP, Lim Kit Siang mendedahkan yang bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah memintanya mendapatkan sokongan parti itu menyokongnya menjadi Perdana Menteri.
Beliau berkata, permintaan Ahli Parlimen Pagoh itu berlangsung di sebuah hotel di ibu negara pada Julai 2016, namun, Kit Siang menolaknya kerana DAP komited menjadikan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.
Justeru, Kit Siang menafikan kenyataan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun bahawa Muhyiddin tidak pernah meminta menjadi Perdana Menteri.
(Lim Kit Siang)
“Adakah Muhyiddin ini seorang reformis tersembunyi yang tidak pernah menunjukkan dirinya? Azhar silap sama sekali apabila dia mengatakan yang Muhyiddin tidak pernah ‘meminta’ untuk menjadi Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kit Siang mengulas ucapan Azhar semasa pelancaran buku ‘Muhyiddin Yassin: Leading a Nation in Unprecedented Crisis’ oleh Abdul Mutalib Razak dan menyifatkan beliau sebagai ‘reformis yang tidak diendahkan’.
Beliau berkata, Muhyiddin akan selamanya-lamanya diingati akibat beberapa kegagalannya iaitu memulakan Langkah Sheraton yang telah merompak mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sekaligus menumbangkan Pakatan Harapan (PH).
Muhyiddin juga didakwa gagal kerana mengisytihar dan menguatkuasakan darurat selama enam bulan yang tidak sah dari segi Perlembagaan Persekutuan.
“Beliau juga mempunyai rekod terburuk dalam menangani pandemik Covid-19, mempunyai Kabinet gergasi terbesar dengan 32 orang menteri, 38 orang timbalan menteri dan empat orang duta khas bertaraf menteri,” katanya. –UTUSAN