PETALING JAYA: Klik Divorce yang dilancarkan pada awal bulan ini menjadi platform perceraian digital pertama di negara ini yang dibangunkan bagi memudahkan laluan kepada pasangan yang mahu berpisah menerusi undang-undang.
Aplikasi yang dibangunkan oleh peguam, Datuk Fion Wong dan Datuk Chris Chin tersebut dijangka dapat mengubah landskap perceraian di Malaysia, di samping menyokong matlamat kerajaan untuk meningkatkan penyesuaian dan penggunaan teknologi merentas pelbagai industri.
Wong berkata, pengguna boleh membina terma perceraian seperti nafkah pasangan, hak penjagaan anak, nafkah dan hak ziarah serta pembahagian harta sepencarian melalui Klik Divorce.
Katanya, surat cerai dapat diperoleh dengan segera untuk dicetak dan ditandatangani jika pasangan yang ingin bercerai saling bersetuju dengan syarat, keseluruhan proses hanya mengambil masa kira-kira lima minit.
Jelasnya, firma guaman kemudiannya boleh menyemak kertas dan menyediakannya untuk difailkan di mahkamah pada hari bekerja berikutnya.
“Klik Divorce menawarkan dua perkara positif utama dalam prosiding perceraian iaitu penjimatan masa dan kos. Ramai orang tidak mampu membayar yuran guaman untuk perceraian, terutamanya dengan peningkatan kos sara hidup hari ini.